Skip to main content

Malaysia

James Chai sambung beri keterangan di Ibu Pejabat SPRM esok

Sinar Harian
Mohd Hafaz mengesahkan perkara itu dan memaklumkan James Chai diminta hadir pada 10 pagi. - Gambar fail/Sinar Harian

PUTRAJAYA: Bekas pembantu Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau James Chai akan dipanggil semula bagi menyambung memberi keterangan pada hari ketiga siasatan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan James Chai diminta hadir pada 10 pagi.

Beliau berkata proses mengambil keterangan James Chai hari ini selesai pada 6.45 petang.

Terdahulu, SPRM merakam percakapan penganalisis politik berkenaan, yang juga saksi membabitkan siasatan berhubung sebuah projek semikonduktor yang dibiayai kerajaan bernilai kira-kira RM1.1 bilion.

Menurut sumber, saksi hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 10 pagi ini bagi menyambung memberi maklumat dan membantu siasatan kes berkenaan.

“Saksi tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 10 pagi tadi dan beliau hadir bagi hari kedua untuk dirakam percakapan,” katanya.

Pada 1 April lepas, SPRM memberi tempoh dua minggu kepada James Chai untuk tampil membantu siasatan kes membabitkan firma semikonduktor itu.

Pada 16 Feb lepas, SPRM membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

Menurut sumber, siasatan dijalankan susulan aduan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian itu dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberi kesan kewangan kepada kerajaan.

Selain itu, siasatan turut menjurus kepada unsur konflik kepentingan apabila beberapa individu dikatakan telah diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing itu selepas berhenti daripada sebuah kementerian.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video