KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memperkenalkan pendekatan lebih agresif dan menyeluruh menerusi kempen Jerayawara SKUAD Antidadah Dua Roda sempena Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) 2026 bagi memperkukuh usaha pencegahan dadah di peringkat akar umbi.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata pendekatan ‘turun padang’ itu dilaksanakan bagi memperhebat sinergi bersama komuniti dengan memberi fokus kepada perlindungan institusi keluarga serta masyarakat luar bandar.
Menurut beliau, pendekatan baharu itu mencerminkan anjakan paradigma dalam agenda pencegahan dadah negara yang kini tidak lagi tertumpu di peringkat atasan semata-mata, sebaliknya digerakkan secara langsung bersama masyarakat.
“Kita melaksanakan pendekatan turun padang secara terus kepada komuniti, keluarga dan masyarakat kampung kerana kempen pencegahan dadah tidak lagi boleh berpusat di peringkat atasan sahaja, sebaliknya perlu benar-benar sampai ke akar umbi.
“Program pertama seumpamanya di Sabah ini mampu membuka mata masyarakat supaya lebih sedar akan bahaya dadah terhadap diri, keluarga dan komuniti setempat,” katanya selepas menghadiri program itu di Pulau Banggi, Kudat hari ini.
Terdahulu, program berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin.
Turut hadir Pengarah AADK Sabah, Elmariah Chung; Penolong Pegawai Daerah Banggi, Jaslee Jaafar serta Pengerusi SKUAD Antidadah Sabah, Datuk Mazlan @ Joehari Manan.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata penglibatan aktif masyarakat dalam program sedemikian mampu meningkatkan tahap kesedaran serta kepekaan terhadap ancaman dadah di persekitaran mereka.
“Apabila program turun padang seperti ini dilaksanakan secara konsisten, ia secara tidak langsung akan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup lebih sihat dan positif.
“Melalui program JABD, inisiatif ini bukan hanya tertumpu kepada sesebuah negeri, malah diperluaskan ke seluruh negara,” katanya.