Skip to main content

Malaysia

Isu pemilikan saham KP SPRM: KSN akan ambil tindakan selanjutnya - Fahmi

PUTRAJAYA, 4 Mac -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi menekankan proses seterusnya akan dijalankan mengikut prosedur rasmi.

PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu bersetuju bahawa tindakan susulan berhubung isu pegangan saham Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, akan diambil oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata keputusan itu menekankan proses seterusnya akan dijalankan mengikut prosedur rasmi, dan kenyataan lanjut daripada Ketua Setiausaha Negara akan menyusul.

Beliau bagaimanapun menegaskan butiran laporan Peguam Negara tidak akan didedahkan pada tahap ini kerana masih ada langkah susulan perlu dilaksanakan.

“Jemaah Menteri pada hari ini telah menerima dan membincangkan hasil laporan siasatan oleh Peguam Negara dalam isu saham Ketua Pengarah SPRM dan memutuskan bahawa tindakan selanjutnya akan diambil oleh Ketua Setiausaha Negara.

"Saya tidak nyatakan apa hasil laporan itu memandangkan ada langkah seterusnya yang perlu dilaksanakan oleh Tan Sri KSN. Untuk maklumat lanjut, kita tunggu kenyataan KSN," katanya dalam sidang media pada Rabu.

Jawatankuasa yang ditubuhkan untuk meneliti dakwaan berkaitan pemilikan saham Azam dipengerusikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Menyentuh mengenai isu manipulasi korporat yang dilaporkan media, Fahmi memaklumkan arahan telah diberikan kepada Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, SPRM, dan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk meneruskan siasatan menyeluruh, termasuk tindakan perundangan dan sitaan hasil yang dipercayai mempunyai elemen jenayah.

Siasatan juga akan menilai sebarang kelemahan undang-undang yang membolehkan manipulasi korporat berlaku.

Tambah Fahmi, Jemaah Menteri dimaklumkan siasatan melibatkan beberapa individu yang dikaitkan dengan isu manipulasi korporat telah bermula beberapa tahun yang lalu.

Pada Februari, Bloomberg menerbitkan satu artikel mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam menegaskan, pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Must Watch Video