ISTANBUL: Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit pada Sabtu berkata penyelesaian isu Palestin kekal menjadi kunci kepada kestabilan di Asia Barat, sambil menegaskan keperluan menangani sumber ketegangan serantau yang lebih meluas, termasuk dasar Israel dan Iran, lapor Anadolu Ajansi.
Berucap dalam sesi panel bertajuk "A West Asia Beyond Zero-Sum Politics" pada Forum Diplomasi Antalya, Aboul Gheit berkata rantau itu telah berdepan tekanan selama beberapa dekad akibat konflik yang tidak dapat diselesaikan dan campur tangan luar.
Beliau turut memberi amaran terhadap cubaan mengetepikan isu Palestin demi usaha normalisasi.
“Tiada orang Arab, Muslim atau mana-mana insan yang adil boleh menerima kezaliman yang dikenakan ke atas rakyat Palestin,” katanya.
Pada masa sama, Gheit menegaskan bahawa ketidakstabilan serantau juga berkait dengan dasar kedua-dua pihak iaitu Israel dan Iran, sambil menggesa perubahan tingkah laku daripada kedua-duanya.
“Kita hidup di sebuah rantau yang semua pihak sentiasa bersiap sedia untuk konfrontasi dan perang,” katanya.
Aboul Gheit turut membangkitkan kebimbangan terhadap ketegangan nuklear, dengan merujuk risiko yang berkaitan dengan keupayaan Israel dan Iran serta memberi amaran tentang kemungkinan peningkatan ketegangan jika isu itu tidak ditangani.
Beliau berkata ketidakstabilan yang berterusan kini menjejaskan ekonomi dan kehidupan rakyat di seluruh rantau itu, sekali gus mengganggu pembangunan dan kemakmuran.
“Tanpa kestabilan, tiada apa yang akan bertambah baik,” kata beliau.