KOTA BHARU: Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan terus dipertingkat susulan insiden tembakan di Pattani, Thailand yang mengorbankan isteri seorang anggota polis negara itu, Isnin lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian itu disifatkan sebagai kes terpencil dan setakat ini tiada sebarang maklumat yang menunjukkan ancaman terhadap keselamatan di Kelantan
“Kawalan sempadan seperti biasa, kami sentiasa berkawal dan berwaspada 24 jam.
“Kejadian di sana itu kes terpencil dan kami tidak mempunyai maklumat lanjut mengapa anggota polis menjadi sasaran dalam insiden tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ibadah Korban Jama’ie anjuran Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan di Padang Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini pada Khamis.
Media Thailand sebelum ini melaporkan, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, empat lelaki bersenjata yang memakai pakaian wanita dan bertudung melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta milik Pol Sen Sgt Maj Adul Hayeesulong, 38, yang tiba di sebuah sekolah bersama keluarganya.
Serangan di luar Sekolah Prasanwittayamulniti di daerah Yarang, Pattani itu mengakibatkan isterinya, Fatimoh Yango, 35, maut selepas terkena tembakan di kepala dan belakang badan.
Mangsa merupakan seorang guru di sekolah berkenaan dan sedang bercuti bersalin selepas melahirkan anak.
Bayi perempuan pasangan itu yang berusia dua bulan turut cedera, manakala anak lelaki mereka berada di dalam kenderaan ketika kejadian.
Bayi berkenaan dilaporkan terselamat selepas peluru yang menembusi belakang ibunya hanya terkena lampin dipakainya.
Sementara itu, Pol Sen Sgt Maj Adul yang bertugas di Balai Polis Yaring cedera pada kedua-dua belah kaki dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Pattani.
Mohd Yusoff berkata, pihaknya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan pemantauan keselamatan di sempadan dijalankan secara berterusan sepanjang masa.
“Kami memantau sebarang pergerakan mencurigakan di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand. Termasuklah kawalan bagi menghalang penyeludupan pendatang asing tanpa izin melalui sempadan negara,” katanya. - Sinar Harian