Skip to main content

Malaysia

Hubungan Malaysia-Indonesia teguh, sedia pacu pertumbuhan lebih pesat - Duta Besar

BENDERA
Hubungan Malaysia-Indonesia akan terus diperkukuh dan sedia untuk pertumbuhan lebih pesat, disokong oleh penglibatan kepimpinan yang erat, kerjasama ekonomi yang meluas serta hubungan antara rakyat yang mendalam.

Hubungan Malaysia-Indonesia akan terus diperkukuh dan sedia untuk pertumbuhan lebih pesat, disokong oleh penglibatan kepimpinan yang erat, kerjasama ekonomi yang meluas serta hubungan antara rakyat yang mendalam.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata, hubungan sekian lama itu sering disifatkan oleh para pemimpin sebagai “sangat istimewa dan unik”, berteraskan sejarah bersama, persamaan budaya, bahasa serta ikatan kekeluargaan yang rapat.

“Jika kita lihat pada keadaan hubungan dua hala semasa antara Malaysia dan Indonesia, saya percaya pada masa ini kita mempunyai hubungan yang sangat baik, sangat cemerlang di semua peringkat, sama ada politik, ekonomi, mahupun hubungan antara rakyat,” katanya dalam program televisyen “International Corner”  terbitan agensi berita ANTARA  pada Selasa.

Beliau berkata, keakraban antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Prabowo Subianto menjadi pemangkin kuat yang memudahkan lagi penglibatan merentas pelbagai sektor.

Menurut beliau, terdapat tujuh lawatan timbal balas antara kedua-dua pemimpin itu pada tahun lepas, dengan Presiden Indonesia melawat Malaysia sebanyak lima kali, manakala Perdana Menteri Malaysia berkunjung ke Jakarta sebanyak dua kali.

Dari sudut ekonomi, Syed Mohamad Hasrin berkata, perdagangan dua hala meningkat sebanyak 5.3 peratus kepada AS$26.6 bilion pada tahun lepas berbanding AS$25.5 bilion sebelumnya, meskipun dalam keadaan ketidaktentuan global.

“Jadi di sebalik segala masalah yang berlaku di seluruh dunia, kita berjaya mencatatkan perdagangan dua hala yang sangat positif antara Malaysia dan Indonesia,” kata Duta Besar itu yang bakal menamatkan tempoh tugasannya di Indonesia tidak lama lagi.

Mengenai hubungan antara rakyat, beliau berkata, ia kekal sebagai tonggak utama hubungan kedua-dua negara dengan rakyat Malaysia menjadi kumpulan pelancong asing terbesar ke Indonesia dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Lebih dua juta rakyat Malaysia melawat Indonesia tahun lepas. Dalam tempoh yang sama, kira-kira 4.2 juta warga Indonesia telah melakukan perjalanan ke Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai masa hadapan, Syed Mohamad Hasrin mengenal pasti keterjaminan makanan, kerjasama minyak sawit dan industri semikonduktor sebagai bidang utama yang mempunyai potensi besar untuk kerjasama lebih mendalam.

Mengenai minyak sawit, beliau berkata, Malaysia dan Indonesia, sebagai dua pengeluar terbesar dunia, bekerjasama rapat di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) bagi menangani kempen negatif yang boleh menjejaskan pekebun kecil dan pekerja industri itu.

“Kita bekerjasama untuk menangkis semua kempen negatif terhadap minyak sawit yang pastinya akan menjejaskan ramai rakyat kita. Kebanyakan mereka dalam industri ini adalah pekebun kecil. Kita mempunyai sekitar 500,000 pekebun kecil dan kira-kira dua juta orang yang bekerja dalam industri ini.

“Jika kita hanya berdiam diri dan bertindak sendiri untuk menangkis kempen oleh rakan sejawat di Barat, suara kita tidak akan didengari dengan kuat. Dengan bekerjasama, kita berjaya membentangkan hujah kita kepada pihak di sana,” katanya.

Dalam sektor semikonduktor, Syed Mohamad Hasrin berkata, terdapat ruang untuk menggabungkan pengalaman industri Malaysia dengan kelebihan bahan mentah Indonesia, terutamanya dalam memastikan kestabilan rantaian bekalan di tengah-tengah kedinamikan global yang sedang berkembang.

“Kami mempunyai banyak pengalaman dalam industri semikonduktor. Saya percaya (Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi), Pak Airlangga (Hartarto) ada menyebut bahawa beliau ingin bekerjasama dengan kami dalam bidang itu. Indonesia pula mempunyai kelebihan dari segi bahan mentah.

“Kestabilan rantaian bekalan serta dari segi teknologi adalah penting dalam menyumbang kepada industri semikonduktor kami. Saya percaya itu adalah ideanya, dan dialog atau perbualan antara kedua-dua pihak perlu diwujudkan untuk melihat potensi sebenar kerjasama kita dalam industri semikonduktor,” katanya.

Di peringkat serantau, Duta Besar itu berkata, ASEAN terus menyediakan platform penting bagi kedua-dua negara untuk menyelaraskan pendirian dan mengukuhkan kerjasama serantau, sambil menambah bahawa asas dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Indonesia juga akan menyumbang secara positif kepada kestabilan dan kerjasama serantau.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video