MEKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) menyediakan perkhidmatan bas ulang alik percuma yang beroperasi 24 jam bagi memudahkan jemaah haji Malaysia bergerak dari hotel penginapan ke Masjidil Haram sepanjang musim haji 1447H/2026M.
Lapan bas dikhususkan untuk perkhidmatan ini, yang menghubungkan Hotel Abraj Al Tayseer ke Stesyen Bas Jarwal berhampiran Dataran Masjidil Haram.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, berkata inisiatif tersebut merupakan nilai tambah kepada perkhidmatan menyeluruh TH untuk jemaah haji negara tahun ini.
"Kesemua bas ini akan beroperasi sepanjang hari selama 24 jam dan ini merupakan bukti komitmen TH dalam melaksanakan penambahbaikan berterusan terhadap penyampaian perkhidmatan kepada jemaah haji untuk tahun ini," katanya.
Beliau menambah perkhidmatan tersebut memberi jemaah fleksibiliti untuk ke masjid pada bila-bila masa, sekali gus membolehkan mereka lebih fokus terhadap ibadah di Tanah Suci.
"Dengan adanya perkhidmatan bas ini, jemaah kini mempunyai alternatif untuk bergerak ke masjid pada bila-bila masa dengan lebih baik, lebih mudah dan lebih lancar," jelasnya.
Hisham turut menyatakan harapan agar inisiatif ini dapat membantu memelihara tahap kesihatan jemaah terutamanya menjelang hari wukuf, memandangkan suhu di Makkah semakin meningkat menjelang kemuncak musim haji.
Bagi musim haji tahun ini, TH menempatkan 31,600 orang jemaah Malaysia di lima bangunan penginapan di Makkah, iaitu Abraj Al Tayseer, Rehab Al Janadriyah, Al Kiswah Tower Hotel, Abraj Al Janadriyah, dan Qasr Al Janadriyah.