SEREMBAN: Polis menahan seorang guru di sebuah rumah sekitar daerah ini petang semalam dipercayai terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata lelaki berusia 41 tahun dan bertugas di sebuah sekolah sekitar Nilai itu ditahan pada 3.30 petang oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.
"Hasil pemeriksaan, polis merampas satu peket plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dianggar seberat 3.63 gram," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata beberapa peralatan diubah suai disyaki digunakan untuk menghisap dadah turut ditemukan dan dirampas.
Guru terbabit yang didapati positif terhadap dadah jenis methamphetamine kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
-- BERNAMA