Skip to main content

Malaysia

GSF2.0: 10 rakyat Malaysia selamat dibebaskan, laporan serangan fizikal ketika tahanan

GSF 2.0
Datuk Sani Araby berkata sepanjang tempoh penahanan, aktivis dilaporkan berdepan pelbagai bentuk tekanan termasuk provokasi dan serangan fizikal sehingga mengakibatkan kecederaan kepada beberapa peserta. - Gambar Astro AWANI

BANGI: Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan 10 rakyat Malaysia yang sebelum ini diculik di perairan antarabangsa oleh rejim Zionis pada 30 April lalu sudah dibebaskan di Pelabuhan Lera Petra, Crete.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby berkata, kesemua delegasi Malaysia itu kini disahkan berada dalam keadaan selamat.

"Kesemua 175 aktivis kemanusiaan Global Sumd Flotila 2.0 telah dibawa ke Lapangan Terbang Heraklion dengan bantuan pihak berkuasa Greece bagi urusan pergerakan seterusnya.

"Kerajaan Turkiye turut menyediakan sebuah pesawat berkapsiti 160 penumpang bagi membawa pulang 20 aktivis warganegara mereka ke Istanbul.

"Turkiye juga mempelawa peserta GSF lain untuk turut serta dalam penerbangan tersebut.

"Mereka dijangka berlepas ke Lapangan Terbang Heraklion pada jam 10:15 malam waktu Malaysia, dijangka tiba di Istanbul pada jam 11:45 malam waktu Malaysia," jelasnya dalam satu sidang media khas, di sini, pada Jumaat.

Tambah Sani, sepanjang tempoh penahanan, aktivis dilaporkan berdepan pelbagai bentuk tekanan termasuk provokasi dan serangan fizikal sehingga mengakibatkan kecederaan kepada beberapa peserta.

“Keadaan penahanan adalah tidak selesa dan terdapat insiden keganasan yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa aktivis,” katanya.  

SNCC kini bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri serta menempatkan tiga wakil di Istanbul bagi menyelaras pergerakan pulang rakyat Malaysia yang terlibat.

Keputusan sama ada kesemua 10 rakyat Malaysia itu akan meneruskan misi atau pulang ke tanah air akan ditentukan berdasarkan tahap kesihatan serta situasi semasa, hasil konsensus bersama pihak SNCC dan Global Sumud Flotilla.

Antara aktivis Malaysia ditahan termasuk wartawan veteran dan aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad atau ZRA yang menaiki kapal Arkham III, Osman Zolkifli serta Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai) dan Hazwan Hazim.

Dua lagi aktivis antarabangsa yang juga ahli jawatankuasa induk GSF iaitu Thiago Ávila dan Saif AbuKeshek masih ditahan, usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan pembebasan mereka.

"Penahanan mereka dipercayai bertujuan untuk mengugut dan melumpuhkan keseluruhan misi," katanya.

Must Watch Video