Skip to main content

Malaysia

Fenomena cuaca panas dijangka beri kesan signifikan kepada ekosistem akuakultur - DOF

Adnan Hussain_FB Jabatan Perikanan Malaysia
Adnan menasihatkan pengusaha terlibat melaksanakan langkah mitigasi seperti mengimbangi kepadatan ternakan dengan melepaskan benih dalam jumlah lebih kecil. - Gambar Facebook DOF

PUTRAJAYA: Fenomena cuaca panas yang melanda negara dijangka memberi kesan signifikan kepada ekosistem akuakultur, menurut Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) pada Selasa.

Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan, fenomena tersebut berpotensi menyebabkan peningkatan suhu air, risiko penularan penyakit serta ancaman ledakan alga berbahaya yang boleh menjejaskan kelangsungan operasi dan produktiviti pengeluaran ikan negara.

Sehubungan dengan itu, DOF menasihatkan pengusaha akuakultur, khususnya penternak ikan sangkar dan kolam mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan risiko kerugian akibat perubahan cuaca itu.

“Cuaca panas dan kering yang melampau memberi kesan langsung kepada kualiti air. Peningkatan suhu bukan sahaja mengurangkan kandungan oksigen terlarut malah mengakibatkan stres kepada ternakan, gangguan metabolisme dan meningkatkan kerentanan ikan terhadap serangan penyakit,” menurut kenyataan itu.

Selain faktor suhu, pengusaha turut digesa berwaspada terhadap ancaman ledakan alga kerana cuaca panas cenderung menggalakkan pertumbuhan alga secara mendadak yang berupaya menyedut oksigen pada waktu malam, sekali gus berisiko tinggi mengakibatkan kematian ikan besar-besaran.

Berdasarkan rekod DOF, terdapat 1,714 pengusaha sangkar air tawar di seluruh negara dengan kepadatan tertinggi di Pahang melibatkan 1,113 pengusaha diikuti Terengganu (332) dan Kelantan (132) yang secara keseluruhan merekodkan pengeluaran sebanyak 17,744.02 tan pada tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain menasihatkan pengusaha terlibat melaksanakan langkah mitigasi seperti mengimbangi kepadatan ternakan dengan melepaskan benih dalam jumlah lebih kecil. 

Selain itu, pengusaha dinasihat melaksanakan kawalan pemakanan lebih ketat bagi mengelakkan pemberian berlebihan yang boleh merosotkan kualiti air dan melakukan pemantauan parameter air seperti suhu dan tahap oksigen secara berkala bagi mengesan perubahan awal yang boleh menjejaskan ternakan.

“Penggunaan sokongan mekanikal seperti pemasangan kincir air atau pam tambahan juga amat digalakkan jika perlu bagi membantu meningkatkan peredaran oksigen dalam sangkar atau kolam sepanjang tempoh cuaca ekstrem ini,” katanya.

Adnan berkata, pengusaha yang terkesan boleh membuat laporan polis bagi tujuan rekod dan rujukan permohonan bantuan di bawah Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Akuakultur yang tertakluk kepada kelulusan serta peruntukan semasa jabatan.

“DOF akan terus memberikan khidmat nasihat teknikal bagi memastikan komuniti akuakultur negara berupaya mengharungi cabaran cuaca ini dengan tahap kesiapsiagaan yang tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video