KUALA LUMPUR: FELCRA Berhad terus memperkukuh peranan sebagai peneraju pembangunan luar bandar dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan peserta, keterjaminan makanan dan transformasi agroekonomi yang mampan serta berdaya saing sempena ulang tahun penubuhan yang ke-60.
Pengerusi FELCRA Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata selepas enam dekad penubuhan, FELCRA kini berdiri sebagai sebuah institusi strategik negara yang bukan sahaja memacu pembangunan tanah malah membentuk ekosistem sosioekonomi luar bandar secara menyeluruh.
“Pengiktirafan FELCRA sebagai ‘pembina negara strategik’ memperkukuh kedudukan agensi ini sebagai antara tonggak utama dalam agenda pembangunan negara, khususnya dalam memperkasa komuniti desa melibatkan lebih 104,000 peserta secara inklusif dan mampan.
“FELCRA komited untuk memastikan setiap peserta FELCRA bukan sahaja mendapat manfaat ekonomi tetapi turut menjadi sebahagian daripada rantaian nilai yang lebih besar, sekali gus mengangkat martabat komuniti luar bandar sebagai penyumbang signifikan kepada kemakmuran negara,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata syarikat itu akan terus melangkah ke hadapan dengan hala tuju yang jelas di samping memperkukuh kedudukan sebagai peneraju pembangunan agroekonomi luar bandar yang berimpak tinggi dan berdaya tahan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Mohamed Ismi Abdul Majid berkata FELCRA kini memberi fokus kepada agenda keterjaminan makanan negara melalui pendekatan agroekonomi yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.
Beliau berkata FELCRA sedang mempergiat usaha meningkatkan produktiviti ladang melalui penggunaan teknologi moden, amalan pertanian terbaik serta pengurusan operasi yang lebih cekap bagi memastikan hasil yang optimum dan mampan.
“Selain itu, penglibatan dalam sektor agromakanan terus diperkukuh dengan pembangunan rantaian nilai yang merangkumi pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran bagi menyumbang kepada kestabilan bekalan makanan negara.
“Usaha penambahbaikan berterusan dalam pengurusan ladang dan pembangunan kapasiti warga kerja serta peserta akan menjadi pemacu utama kepada transformasi FELCRA pada masa hadapan.
“Pada masa sama, FELCRA turut mempergiat pengembangan industri biogas yang berupaya menjana nilai tambah berasaskan konsep waste to wealth,” katanya, sambil menambah pendekatan itu mencerminkan komitmen FELCRA dalam menyokong agenda kelestarian negara.
Selari dengan aspirasi pembangunan negara, FELCRA turut komited untuk terus memperkasa komuniti luar bandar melalui model pembangunan yang inklusif dan mampan, demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang.
-- BERNAMA