GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan memfokuskan golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik dalam usaha melindungi kesihatan rakyat sepanjang tempoh cuaca panas ekstrem akibat fenomena El Nino yang dijangka berlaku pada hujung tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo berkata pendekatan itu akan dilaksanakan menerusi pematuhan kepada garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang merangkumi pengurusan risiko kesihatan secara berstruktur berdasarkan ambang suhu.
Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) pula memainkan peranan memantau penyakit berkaitan haba berdasarkan amaran daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, di samping menyalurkan nasihat dan pendidikan kesihatan secara berterusan bagi melindungi diri semasa cuaca panas.
“Selain itu, bantuan kewangan turut disediakan kepada mangsa bencana melalui Bantuan Wang Ihsan (BWI) oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebanyak RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas dan RM10,000 bagi kes kematian.
“Tabung Bencana Negeri Pulau Pinang juga menyediakan sagu hati 20 peratus daripada kerosakan kediaman (minimum RM200, maksimum RM10,000),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Muhammad Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua) tentang kesiapsiagaan kerajaan negeri menghadapi cuaca panas ekstrem akibat fenomena El Nino di Pulau Pinang dan pelan kesihatan awam yang disediakan.
Sundarajoo berkata kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengambil langkah kesiapsiagaan termasuk mengemas kini status El Nino dan cuaca panas secara berkala serta hebahan kepada umum, memberikan makluman ramalan hari tanpa hujan sekurang-kurangnya tujuh hari kepada agensi berkaitan dan mengeluarkan ramalan jerebu melalui Community Multiscale Air Quality Modeling (CMAQ).
Selain itu, beliau berkata Unit Pengurusan Bencana Pulau Pinang turut menganjurkan bengkel dan latihan simulasi bencana, memberikan taklimat kesedaran kepada komuniti dan mengemas kini maklumat semasa melalui media sosial rasmi.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri juga bersedia menghadapi ribut dan puting beliung pasca-El Nino melalui tiga teras utama, iaitu pemantauan dan amaran awal, penyelarasan agensi serta penyelenggaraan infrastruktur.
-- BERNAMA