KUALA LUMPUR: Dunia ketika ini tidak mengalami “orde dunia baharu” yang tersusun, sebaliknya berdepan apa yang boleh disifatkan sebagai “kekacauan anarki tidak menentu” yang dicirikan oleh peningkatan ketenteraan, kelemahan multilateralisme dan jurang ketidaksamaan yang semakin melebar, kata ahli ekonomi terkemuka Jomo Kwame Sundaram.
Ketika berucap pada syarahan awam bertajuk “What is at Stake in a Fragmented World Today: Rethinking Peace, Imperialism, and the Global Disorder” di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini baru-baru ini, beliau berkata apa yang sering digambarkan sebagai “orde dunia baharu” sebenarnya bukanlah sesuatu yang benar-benar baharu atau mencerminkan sistem global yang tersusun sepenuhnya.
Beliau berkata sesuatu orde sepatutnya bersifat koheren dan mampu bertahan sendiri, namun sistem global semasa semakin tidak stabil akibat pembiayaan, penswastaan, krisis fiskal dan hutang, stagflasi, pertumbuhan perlahan, peningkatan ketidaksamaan, kemiskinan dan kebuluran.
“Dunia hari ini sebenarnya bukan satu orde. Ia sedang menjadi sejenis kekacauan anarki yang tidak menentu,” katanya.
Jomo menelusuri evolusi struktur kuasa global daripada Pax Romana dan Empayar Rom Suci kepada Pax Britannica serta Pax Americana ketika ini, sambil menyatakan bahawa era dominasi terdahulu dikaitkan dengan sistem kuasa yang lebih jelas.
Jomo berkata struktur ekonomi global semasa telah beralih daripada memenuhi keperluan rakyat apabila banyak kerajaan lebih memberi penekanan terhadap perbelanjaan ketenteraan berbanding kebajikan awam.
Beliau berkata trend sedemikian semakin ketara kebelakangan ini apabila kuasa besar semakin bergantung pada langkah ekonomi dan strategik, termasuk sekatan dan tarif, untuk memajukan kepentingan negara masing-masing.
Dengan peningkatan ketenteraan dan “kuasa keras”, Jomo berkata penekanan terhadap penglibatan pelbagai hala dilihat semakin berkurangan, dengan sesetengah negara lebih cenderung memilih aturan dua hala yang boleh menawarkan kelebihan strategik lebih besar.
Beliau menjadikan pengunduran daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebagai contoh apa yang disifatkannya sebagai “pendekatan transaksional berasaskan urus niaga sekali sahaja dan sifar jumlah”.
Beliau berkata "terdapat logik di sebalik kegilaan itu," namun memberi amaran bahawa menganggap "seorang pemimpin tidak mempunyai perkiraan yang rasional adalah satu kesilapan dan boleh membahayakan."
Tambah beliau, pendekatan transaksional itu sering berasaskan pemikiran sifar jumlah, iaitu keuntungan satu pihak dianggap berlaku atas kerugian pihak lain.
Jomo berkata pendekatan sedemikian secara tidak langsung boleh mewajarkan rasuah dengan mewujudkan tanggapan bahawa dasar bersifat transaksional dan boleh dianggap sebagai “untuk dijual”.
Beliau berkata walaupun terdapat perbincangan dalam sesetengah pihak mengenai pendekatan lebih bebas dalam hal ehwal global, terdapat petunjuk bahawa ketenteraan terus mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Jomo berkata perkembangan terkini melibatkan peluasan aktiviti industri berkaitan pertahanan mencerminkan trend lebih luas itu.
Beliau turut menyatakan bahawa usaha ekonomi maju melindungi kepentingan strategik dan ekonomi mereka susulan kebangkitan Selatan Global bukanlah sesuatu yang baharu.
Syarahan itu turut menampilkan Timbalan Dekan (Akademik dan Pengantarabangsaan) Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, UIAM, Dr Sh Fatimah Alzahrah serta Ketua Penyelidikan dan Advokasi Asia Region IDEAS, Farwa Sial, yang menyertai sesi itu menerusi Zoom sebagai ahli panel.
Acara yang dianjurkan Citizens International dengan kerjasama PACE (Palestine Centre of Excellence) dan UIAM itu dihadiri ahli akademik dan pelajar, selain peserta yang turut menyertai secara dalam talian menerusi Zoom.
-- BERNAMA