IPOH: Dua maut, manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Baru, Kampung Seri Makmur, Batu 7, Kuala Kurau, awal pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 1.24 pagi sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Gear.
“Setibanya jentera di lokasi, terdapat seorang lelaki berumur 26 tahun yang merupakan penumpang kereta berada di bawah kereta dan seorang penunggang motosikal berumur lingkungan 21 tahun tercampak dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, pemandu kereta yang berumur dalam lingkungan 20an mengalami kecederaan, telah dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke Hospital Parit Buntar menggunakan ambulan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebelum jentera bomba tiba.
Menurut Sabarodzi, ketua operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep SAVER seterusnya mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa yang berada di bawah kereta.
Bagaimanapun, katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi terkawal pada jam 1.40 pagi dan tamat sepenuhnya jam 2.50 pagi.