Skip to main content

Malaysia

Dua lelaki disyaki edar dadah ditahan dalam ladang kelapa sawit

61741843473_handcuff.jpg
Dua lelaki dipercayai terbabit aktiviti pengedaran dadah ditahan dalam dua serbuan berasingan di ladang kelapa sawit di Tanjung Minyak pada 11 dan 12 Feb lepas. - Foto hiasan

MELAKA: Dua lelaki dipercayai terbabit aktiviti pengedaran dadah ditahan dalam dua serbuan berasingan di ladang kelapa sawit di Tanjung Minyak pada 11 dan 12 Feb lepas. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata polis turut merampas 37 peket heroin berjumlah 47.94 gram dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah (D4) serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Komuniti Kepolisan itu.

Beliau berkata dalam serbuan pertama pada 11 Feb, seorang lelaki lingkungan 40an diberkas dan 17 peket disyaki berisi heroin seberat 22.46 gram ditemukan.

"Susulan tangkapan itu, polis melancarkan serbuan kedua pada 12 Feb di kawasan sama dan menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia lingkungan awal 30an," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek kedua membawa kepada penemuan 20 peket plastik lut sinar disyaki berisi heroin seberat 25.48 gram.

Christopher berkata kegiatan itu dipercayai aktif sejak sebulan lepas dan menyasarkan pasaran tempatan.

"Jumlah keseluruhan dadah dirampas yang bernilai RM1,050 dianggarkan boleh digunakan oleh 238 penagih,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek positif dadah dan mempunyai beberapa rekod jenayah.

Polis turut menyita dua motosikal milik suspek yang dianggarkan bernilai RM10,500.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 12 Feb bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video