Skip to main content

Malaysia

DBKL kurangkan kadar sewa tapak penjaja 50 peratus mulai 1 April ini

KUALA LUMPUR, 14 Mac -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh (tengah) bercakap ketika sidang media berhubung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pemotongan 50 peratus sewa tapak penjaja bagi membantu rakyat hadapi tekanan kos sara hidup di Pusat Penjaja Bandar Tasik Permaisuri, hari ini._BERNAMA
Hannah (tengah) bercakap ketika sidang media berhubung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pemotongan 50 peratus sewa tapak penjaja hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengurangkan kadar sewaan sebanyak 50 peratus bagi tapak penjaja serta premis tertentu di bawah seliaannya berkuat kuasa 1 April ini hingga 31 Dis 2027.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata inisiatif berkenaan dijangka memberikan manfaat kepada lebih 10,000 tapak penjaja dan premis perniagaan kecil milik DBKL di ibu kota, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos operasi yang dihadapi mereka.

Beliau berkata pengurangan kadar sewa itu juga susulan peningkatan tekanan kos sara hidup akibat ketidaktentuan ekonomi global yang memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dunia serta kos logistik

“Inisiatif ini juga menjadikan DBKL sebagai antara pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia yang melaksanakan pengurangan kadar sewa secara menyeluruh pada skala besar bagi membantu peniaga kecil dan rakyat bandar menghadapi tekanan kos sara hidup,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hannah berkata pengurangan kos sewaan itu turut dijangka memberi impak positif kepada rakyat di ibu kota yang membeli makanan atau barangan untuk keperluan harian, sekali gus membantu meringankan perbelanjaan isi rumah.

“Saya berharap inisiatif seperti ini akan diterima baik oleh penjaja dan saya juga minta yang mempunyai tunggakan (sewaan tapak) ini kena cepat-cepat ambil peluang inisiatif ini untuk cepat-cepat selesaikan tunggakan yang ada kerana kita tak boleh tunggu lama sebab ada banyak permintaan untuk sewaan tapak seperti ini,” katanya.

Sementara itu Fadlun menjelaskan pengurangan kadar sewaan itu dilaksanakan melalui potongan sebanyak 50 peratus secara menyeluruh dengan kadar sewaan minimum ditetapkan pada RM50 sebulan. 

“Bagi premis yang mempunyai kadar sewa RM50 dan ke bawah, kadar sewaan tersebut adalah dikekalkan seperti kadar sedia ada tanpa sebarang pengurangan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, penyewa unit berkenaan hendaklah terlebih dahulu menjelaskan sebarang tunggakan sedia ada sebelum layak menikmati insentif berkenaan.

Dalam masa sama, beliau berkata DBKL akan terus memantau perkembangan kos sara hidup dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai sebuah bandar yang inklusif, berdaya tahan dan prihatin terhadap kebajikan rakyat.

-- BERNAMA

Must Watch Video