KUALA LUMPUR: Dataran Merdeka perlu terus diaktifkan menerusi program seni, budaya, pendidikan dan komuniti bagi memastikan ia kekal sebagai ruang awam yang dinamik untuk rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Beliau berkata kerajaan telah melaburkan sejumlah besar peruntukan untuk menaik taraf Bangunan Sultan Abdul Samad dan bangunan warisan lain di kawasan itu, namun usaha berkenaan tidak akan membawa makna tanpa penyertaan orang ramai.
“Bangunan-bangunan ini tidak akan bermakna sekiranya kita tidak mempunyai rakyat yang menghargai bangunan-bangunan ini, warisan kaya yang kita miliki serta potensi yang ditawarkan oleh bandar raya ini,” katanya.
Hannah berkata demikian semasa berucap pada majlis penutupan Festival Kuala Lumpur 2026 dan pelancaran Sukan Muzik Asia (AMG) Kuala Lumpur 2026 di Dataran Merdeka di sini Sabtu malam.
Beliau berkata bangunan warisan semata-mata tidak mampu menghidupkan sesebuah bandar raya.
“Ruang ini hanya akan menjadi sebuah bangunan yang indah dengan pencahayaan yang cantik, namun rakyat, kumpulan muzik, ibu bapa, para penyokong dan penaja yang telah menjadikannya hidup, dan Dataran Merdeka hidup pada malam ini kerana anda semua,” katanya.
Hannah menyuarakan harapan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Think City akan terus menganjurkan program serta acara di Dataran Merdeka dalam beberapa minggu akan datang bagi menggalakkan penyertaan awam yang lebih meluas.
Pada majlis itu, Hannah menyempurnakan penutupan rasmi Festival Kuala Lumpur 2026 dan mengumumkan bermulanya Sukan Muzik Asia Kuala Lumpur 2026 yang dijadualkan berlangsung pada September depan.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
-- BERNAMA