GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menafikan dakwaan ratusan hartanah di negeri itu dimiliki warga China pada harga purata lebih rendah daripada had minimum ditetapkan Program Malaysia My Second Home (MM2H).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo berkata dakwaan itu dibuat berdasarkan tafsiran tidak tepat terhadap data keseluruhan transaksi hartanah yang melibatkan warga asing di Pulau Pinang bagi 2025.
“Mengikut rekod dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) daripada keseluruhan 365 unit hanya 15 dijual pada harga antara RM400,000 hingga RM1.5 juta berdasarkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri.
“Pengiraan purata harga jualan sebanyak RM411,506 seperti yang didakwa tidak menggambarkan situasi sebenar,” katanya kepada pemberita di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya Izhar Shah Arif Shah mendakwa warga China memiliki 365 rumah di negeri itu dengan nilai keseluruhan RM150.2 juta bersamaan purata RM411,506 bagi setiap rumah.
Sundarajoo berkata kerajaan negeri sebelum ini melaksanakan HOC dan Dasar Rangsangan Sektor Hartanah Pulau Pinang dari 2020 hingga 2024 bagi membantu merancakkan semula sektor hartanah yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Beliau berkata dasar itu diperkenalkan susulan peningkatan ketara unit hartanah siap tidak terjual (overhang) di negara ini termasuk di Pulau Pinang yang merekodkan 5,222 unit ketika itu berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Di bawah HOC, beliau berkata kerajaan negeri memberikan beberapa insentif bersasar termasuk pengurangan had harga siling bagi pembelian hartanah yang dibenarkan untuk warga asing bagi membantu melestarikan penjualan unit overhang, pengurangan Fi Kelulusan sebanyak 50 peratus dan pengurangan Levi Pembelian Warga Asing.
“Bagaimanapun, dasar HOC tamat pada Disember 2024 dan kadar nilai jualan hartanah kepada warga asing telah dikembalikan kepada kadar asal mengikut Garis Panduan Perolehan Hartanah Oleh Bukan Warganegara Atau Syarikat Asing Negeri Pulau Pinang yang berkuat kuasa,” katanya.
Sundarajoo menegaskan segala kelulusan pembelian hartanah oleh warga asing dilaksanakan secara telus dan tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri.
-- BERNAMA