Skip to main content

Malaysia

Curi emas pesakit di hospital, ibu tiga anak didenda RM3,000

Sumber: FREEPIK
Majistret, Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Aisyah Rusly, 38, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan. -Gambar hiasan

SEREMBAN: Ibu tiga anak didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan mencuri barangan kemas pesakit yang sedang menerima rawatan di Zon Hijau Hospital Tuanku Jaafar(HTJ), di sini.

Majistret, Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Aisyah Rusly, 38, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah mencuri seutas rantai leher emas berserta loket, gelang tangan emas, gelang kaki emas dan sepasang subang emas milik seorang wanita berusia 56 tahun.

Perbuatan berkenaan dilakukan pada 13 Mac 2026, jam lebih kurang 4.30 petang hingga 6.30 petang di zon hijau HTJ.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kali kedua, boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan(YBGK), Razqeeyanur Sarini Salzali memaklumkan yang tertuduh memohon denda yang minimum kerana dia telah dibuang kerja selain perlu menanggung tiga anak berusia antara lapan hingga 11 tahun.

Katanya, tertuduh memohon maaf atas kesalahan dilakukan dan mengakui terjebak dengan hutang ah long, menyebabkan dia tiada pilihan lain.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran.

Mengikut fakta kes, pengadu mendapati barang kemas miliknya yang disimpan di dalam beg plastik ketika sedang menerima rawatan di zon hijau telah hilang.

Pengadu kemudiannya membuat laporan polis dan tertuduh telah ditahan pada 14 Mac 2026.

Must Watch Video