Skip to main content

Malaysia

Cuaca panas: Perak pantau rapi empangan utama

BUKIT MERAH, 17 Julai -- Keadaan terkini Empangan Bukit Merah mencatatkan paras kritikal, iaitu Tahap 3, menurut tinjauan Bernama hari ini.  Paras air yang semakin surut berlaku akibat cuaca kering berpanjangan sejak Mei lalu, sekali gus menyebabkan bekalan air ke sawah dan kawasan pertanian berhampiran terpaksa dicatu.
Empangan Bukit Merah (foto) setakat ini merekodkan paras 6.965 meter, menunjukkan trend penurunan dan berada pada status Kritikal Pengairan Tahap Satu. -Gambar fail/Bernama

IPOH: Kerajaan Negeri Perak sentiasa memantau rapi paras air di empangan utama di seluruh negeri yang merekodkan trend penurunan akibat cuaca panas berpanjangan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata Empangan Bukit Merah setakat ini merekodkan paras 6.965 meter, menunjukkan trend penurunan dan berada pada status Kritikal Pengairan Tahap Satu.

Beliau berkata Empangan Temenggor menunjukkan trend penurunan paras air yang berterusan sejak awal Januari dengan paras semasa pada 239.07 meter dan semakin menghampiri paras kritikal operasi selamat empangan iaitu 238 meter.

“Secara keseluruhannya, keadaan empangan yang berada pada tahap kritikal memerlukan pemantauan berterusan, pengurusan pelepasan air secara berdisiplin dan penggunaan air secara berhemah," katanya pada Majlis Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di padang Taman Lapangan Jaya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar berkata secara umumnya bekalan air di semua kawasan di negeri ini pada masa ini masih stabil dan terkawal.

Beliau berkata semua loji rawatan air beroperasi dengan baik dan pada tahap pengeluaran yang diperlukan kecuali loji yang menghadapi penyusutan air mentah di muka sauk.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video