MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka memperkukuh kesiapsiagaan untuk menangani isu bekalan air susulan cuaca panas dan kering ketika ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata setakat ini paras air di empangan utama negeri masih berada pada tahap terkawal dan belum memerlukan pelaksanaan catuan air.
"Kerajaan negeri akan terus mendapatkan maklumat terkini daripada agensi berkaitan termasuk badan kawal selia air bagi memastikan sebarang perubahan dapat dimaklumkan kepada rakyat dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat 2026 peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini yang turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
Ab Rauf berkata dalam masa sama, usaha meningkatkan kecekapan pengurusan air berjaya menurunkan kadar kehilangan Air Tidak Terhasil (NRW) kepada sekitar 50 peratus, antaranya melalui pengurangan tekanan air pada waktu malam bagi mengawal pembaziran.
“Langkah ini membantu kita mengawal pembaziran air dan meningkatkan kecekapan pengurusan sumber, sekali gus antara usaha menghadapi kesan cuaca panas sekarang,” katanya.
Beliau berkata rakyat negeri ini turut dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemat dan tidak menolak kemungkinan pengumuman berkaitan penjimatan air akan dibuat sekiranya cuaca panas berpanjangan.
-- BERNAMA