Skip to main content

Malaysia

Cuaca panas: KPM teliti sesi persekolahan secara bersepadu dengan KKM, MetMalaysia

KAJANG, 31 Mac -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan pada Majlis Pengumuman Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fadhlina berkata pihaknya akan meneliti langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani kesan cuaca panas melampau, dengan keutamaan diberikan kepada kesejahteraan dan keselamatan warga sekolah - Foto/ BERNAMA

KAJANG: Sebarang keputusan melibatkan sesi persekolahan, termasuk pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan fenomena cuaca panas, akan dibuat secara bersepadu bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya akan meneliti langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani kesan cuaca panas melampau, dengan keutamaan diberikan kepada kesejahteraan dan keselamatan warga sekolah.

Menurut beliau, perancangan menyeluruh diperlukan bagi memastikan sistem pendidikan terus berjalan tanpa menjejaskan pembelajaran murid.

"Saya ambil pendekatan bahawa setiap perancangan itu kita akan tindak susul bersama dengan KKM dan  agensi berkaitan supaya perancangan itu lebih teratur dan baik serta tidak menjejaskan pelajaran anak-anak sebab keutamaan kita adalah pembelajaran anak-anak dan kesihatan warga sekolah.

"Justeru, setiap keputusan akan dibuat dengan merujuk serta mendapatkan nasihat daripada KKM dan MetMalaysia,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan sempena Majlis Pengumuman Keputusan SPM di Sekolah Menengah Tinggi Kajang, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa cadangan daripada pakar berhubung penambahbaikan fasiliti sekolah termasuk penyediaan kawasan berbumbung, dan penyaman udara di dalam bilik darjah akan dipertimbangkan.

Fadhlina menambah semua cadangan tersebut akan diteliti secara menyeluruh di peringkat KPM, termasuk usaha berterusan menambah baik kemudahan sedia ada di sekolah.

"Cadangan-cadangan ini adalah baik dan kita sememangnya sentiasa menambah baik kemudahan seperti kawasan berbumbung di sekolah.

"Insya-Allah, semua cadangan akan dipertimbangkan di peringkat KPM," jelas beliau.

Sebelum ini, MetMalaysia memaklumkan fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah.

Must Watch Video