Skip to main content

Malaysia

CIDB perkenal platform DCM, perkukuh pendigitalan sektor pembinaan

KUALA LUMPUR, 9 Mac -- Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia Datuk Yusuf Abd Wahab bercakap pada sidang media Majlis Pelancaran Penjenamaan Baharu dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun CIDBEC di sebuah hotel hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Yusuf berkata CIDB menerusi myBIM Malaysia telah mewujudkan myBIM Centre dan 12 satelit di seluruh negara bagi memastikan pemain industri bersedia mengadaptasi teknologi pemodelan maklumat bangunan (BIM) serta memperkukuh ekosistem digital industri pembinaan negara. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia melancarkan platform Digital Construction Management (DCM) bagi memacu agenda pendigitalan serta mempertingkatkan daya saing sektor pembinaan negara.

Platform yang dibangunkan oleh anak syarikatnya, CIDB Digital Sdn Bhd itu dilancarkan oleh Pengerusi CIDB Malaysia Datuk Yusuf Abd Wahab sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun penubuhan organisasi berkenaan di sini pada Isnin.

Yusuf berkata pengenalan DCM merupakan langkah strategik dalam mempercepat transformasi digital industri pembinaan, selaras dengan komitmen CIDB untuk memperkasakan penggunaan teknologi bagi meningkatkan produktiviti, ketelusan serta kecekapan pengurusan projek.

“Pendigitalan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan bagi memastikan industri pembinaan negara kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi global yang semakin berasaskan teknologi,” katanya pada majlis pelancaran itu.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan CIDB Malaysia Suhaimi Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Digital Nazir Muhamad Nor serta pemain industri.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penjenamaan semula CIDB E-Construct Services Sdn Bhd (CIDBE) kepada CIDB Digital Sdn Bhd yang mencerminkan peranan baharu organisasi itu sebagai peneraju utama pembangunan ekosistem digital industri pembinaan negara.

Dalam sidang media kemudiannya, Yusuf berkata CIDB menerusi myBIM Malaysia telah mewujudkan myBIM Centre di sini dan 12 satelit di seluruh negara bagi memastikan pemain industri bersedia mengadaptasi teknologi pemodelan maklumat bangunan (BIM) serta memperkukuh ekosistem digital industri pembinaan negara

Beliau berkata inisiatif berkenaan selaras dengan Pelan Tindakan Pembinaan 2026-2030 (CAP30) serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan teknologi digital sebagai pemacu utama produktiviti dan ketelusan sektor berkenaan.

Sementara itu, Nazir berkata berkata platform DCM merupakan sistem pengurusan pembinaan digital bersepadu hasil inovasi sepenuhnya bakat tempatan bagi menyelaras pelbagai disiplin pembinaan termasuk arkitek, struktur dan mekanikal.

“Ia juga berfungsi untuk meningkatkan kecekapan perancangan, pelaksanaan serta pemantauan projek pembinaan melalui penggunaan teknologi digital yang diintegrasi dengan teknologi moden seperti BIM dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata berbeza dengan perisian tradisional yang memerlukan perkakasan komputer berspesifikasi tinggi, DCM adalah berasaskan laman web yang memudahkan pengguna mengakses pelan projek hanya melalui telefon pintar.

Keupayaan platform itu, katanya terbukti apabila telah digunakan dalam lebih 60 projek pembinaan berskala besar di lima negara dengan nilai keseluruhan melebihi ASD$8 bilion.

-- BERNAMA

Must Watch Video