KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan Majlis Tahfiz Negara yang dicapai pada Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 hari ini akan dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu penting bagi memperkukuh kedudukan pendidikan tahfiz dalam arus perdana sistem pendidikan negara dan memastikan pembangunan insan yang seimbang daripada segi ilmu serta akhlak.
“Dalam konteks ini, pendidikan tahfiz tidak boleh terus dilihat sebagai aliran pinggiran. Tahfiz mesti diberikan tempat yang lebih bermakna dalam arus pendidikan negara.
“Kita mahu melahirkan huffaz yang bukan sahaja menghafaz al-Quran tetapi juga huffaz profesional, jurutera huffaz, doktor huffaz, teknokrat huffaz, usahawan huffaz dan pemimpin huffaz," katanya ketika merasmikan Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Kongres yang menghimpunkan lebih 5,000 tokoh akademik, profesional dan mahasiswa itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-80 UMNO.
-- BERNAMA