BINTULU: Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak di kawasan belukar seluas kira-kira 1.62 hektar di pesisir Kuala Tatau-Serupai, Tatau hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan dalam satu kenyataan hari ini, kebakaran berulang itu berjaya dikawal pada hari kedua operasi.
Menurut JBPM, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.03 petang semalam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejauh 40 kilometer dari balai Tatau.
“Dalam operasi yang bermula pada 9.15 pagi untuk hari ini, pasukan telah membawa pam angkut ke lokasi kebakaran yang terletak kira-kira 300 meter dari jalan utama.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 91.44 meter serta satu pancutan air daripada sumber terbuka iaitu parit berhampiran,” menurut kenyataan itu yang turut memaklumkan api berjaya dikawal pada 11.40 pagi.
Seramai tujuh anggota terlibat dalam operasi itu dengan kekuatan satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis DMAX.
-- BERNAMA