KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan lebih banyak penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta dalam memperkasakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri di ibu kota.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif program Baiti Jannati TNB @ Wilayah Persekutuan merupakan hadiah amat bermakna buat warga kota, memandangkan kos sara hidup dan harga hartanah yang tinggi di Kuala Lumpur.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang telah memperuntukkan RM69 juta sehingga tahun lepas bagi menyediakan hampir 1,000 unit kediaman di bawah program Baiti Jannati di seluruh negara
"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak TNB kerana sehingga tahun lepas mereka telah membelanjakan RM69 juta bagi menyediakan hampir 1,000 unit rumah dari program Baiti Jannati di seluruh negara. Di Kuala Lumpur untuk tahun ini, kita sediakan 20 unit daripada tujuh kawasan Parlimen.
"Untuk warga kota, ini adalah hadiah yang sangat bermakna kerana mereka dapat rumah sendiri yang telah pun dilengkapi oleh pihak TNB.
“Kita boleh tengok ada yang menangis kerana mereka mendapat hadiah seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian di majlis penyerahan Sijil Pemilikan Unit Kediaman Program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam masa sama, Hannah menjelaskan bahawa walaupun permohonan untuk mendapatkan rumah di Kuala Lumpur amat tinggi, pelaksanaan program ini bergantung sepenuhnya kepada ketersediaan dana CSR daripada pihak penyumbang.
"Kita berharap lebih banyak lagi GLC dan pihak swasta tampil menyediakan peruntukan melalui program bermakna seperti ini.
“Pemilikan rumah ini bukan sahaja untuk ibu bapa, malah ia menjadi aset yang boleh diwariskan kepada anak-anak mereka pada masa hadapan," tambahnya lagi.
Program Baiti Jannati merupakan antara inisiatif murni yang memfokuskan kepada membaik pulih, membina atau membeli rumah untuk golongan asnaf dan mereka yang memerlukan, bagi memastikan setiap keluarga mempunyai tempat berteduh yang selesa dan selamat.