SHAH ALAM: Tindakan seorang pengguna media sosial yang berulang kali mempertikaikan usaha Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membangunkan dan memajukan kaum Bumiputera mendapat perhatian Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut Asyraf Wajdi, beliau pada awalnya memilih untuk tidak melayan perkara yang dibangkitkan individu berkenaan, namun mengubah pendirian tersebut apabila isu keistimewaan khas diberi kepada orang Melayu dan Bumiputera terus dipersoalkan.
"Ada lagi yang tidak boleh menerima hakikat MARA sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Mulanya saya malas je nak jawab. Tapi sudah beberapa kali beliau memperlekehkan dan menafikan peranan MARA, termasuk memandang rendah perancangan MARA untuk memprofesionalkan golongan Huffaz.
"Minta maaf, selagi saya diberikan amanah sebagai Pengerusi MARA, hak keistimewaan orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak akan tetap dipertahankan sebagaimana termaktub dalam Perkara 153," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Menjawab persoalan mengapa MARA masih memerlukan keistimewaan khas, meskipun telah mencapai kejayaan membanggakan, Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO menegaskan, kedudukan tinggi yang dicapai institusi itu tidak bermaksud jurang struktur dalam masyarakat telah terhapus.
Ujarnya, keistimewaan tersebut tidak pernah diwujudkan untuk membuktikan orang Melayu dan Bumiputera tidak mampu bersaing, sebaliknya ia diperkenal bagi mempercepatkan penyertaan kaum berkenaan supaya persaingan berlaku secara seimbang.
"Jika kejayaan semata-mata bermaksud bantuan perlu dihentikan serta-merta, maka tiada negara akan meneruskan subsidi, tindakan afirmatif atau perlindungan strategik untuk golongan dan industri yang masih membangun.
"Persoalan sebenar bukan sama ada sebahagian Bumiputera telah berjaya, tetapi sama ada jurang sosioekonomi keseluruhan sudah cukup rapat sehingga bantuan boleh ditarik balik tanpa menjejaskan atau mengundurkan kemajuan yang telah dicapai," katanya. -- Sinar Harian