PUTRAJAYA: Tiga masjid utama di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah malam ini sebagai tanda solidariti dan kebersamaan umat Islam terhadap krisis kemanusiaan di Gaza serta beberapa wilayah di Asia Barat.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata solat hajat dan Qunut Nazilah akan diadakan selepas solat Maghrib di Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.
Beliau berkata inisiatif itu bukan sekadar pengisian ibadah semata-mata, tetapi juga manifestasi keprihatinan dan kemanusiaan terhadap penderitaan saudara-saudara yang terkesan akibat konflik berpanjangan.
“Dalam suasana Ramadan yang penuh rahmah, doa menjadi kekuatan rohani yang menyatukan hati-hati orang beriman.
“Semoga usaha ini menjadi asbab turunnya rahmat dan pertolongan Allah SWT, dikurniakan ketabahan kepada mereka yang diuji, serta dianugerahkan keamanan, keadilan dan kesejahteraan kepada seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan menyeru umat Islam seluruh negara agar membaca Qunut Nazilah dan menunaikan solat hajat demi keamanan Gaza dan Asia Barat.
Bernama melaporkan Malaysia bersolidariti bersama semua umat Islam dan masyarakat di Asia Barat yang terjejas susulan ketegangan berpunca daripada tindakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang melancarkan serangan terhadap Iran pada Sabtu.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia mendoakan kesejahteraan umat Islam dan semua masyarakat yang terkesan di rantau itu.
AS dan Israel dilaporkan melancarkan siri serangan terhadap sasaran di Iran, termasuk Tehran, yang turut mengakibatkan kemalangan orang awam.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan misil ke wilayah Israel dan kemudahan tentera AS di Asia Barat. Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dilaporkan terbunuh susulan serangan pada pagi Sabtu, menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
-- BERNAMA