Skip to main content

Malaysia

APM Terengganu kendali 1,700 kes ular dalam tempoh hampir dua bulan

KUALA NERUS, 11 Dis -- Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjinakkan seekor ular sawa batik semasa ditemui di Pejabat APM Gong Badak hari ini.  APM Terengganu telah berjaya mengendalikan 7,023 kes tangkapan ular di seluruh negeri itu bermula Januari hingga November tahun ini.  --fotoBERNAMA
Operasi menangkap ular oleh pihak APM, melibatkan pelbagai kawasan sama ada bandar mahupun kampung seperti rumah penduduk, kawasan pembinaan dan lombong. - Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu merekodkan kira-kira 1,700 kes tangkapan ular di seluruh negeri bagi tempoh 1 Jan hingga 24 Feb lepas.

Timbalan Pengarah (Operasi) Mejar (PA) Mohd Hafiz Asikin berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 1,100 kes bagi tempoh sama tahun lepas manakala sebanyak 11,298 kes tangkapan ular dikendalikan pihaknya sepanjang 2025.

Beliau berkata peningkatan jumlah tangkapan ular sejak lima tahun kebelakangan ini bukan bermakna populasi reptilia itu semakin meningkat, tetapi dipengaruhi pelbagai faktor terutama perubahan cuaca.

“Jika cuaca terlalu panas, ular akan keluar dari kawasan habitatnya untuk mencari kawasan yang lembap. Apabila kawasan itu terlalu lembap pula, ia akan cuba mencari kawasan lebih kering.

“Apabila kita tengok data meningkat, bukanlah bermakna jumlah ular itu semakin banyak. Ular ada sahaja di sekeliling kita, cuma tidak berada dekat dengan kehidupan manusia melainkan apabila ia berasa terancam ataupun habitatnya mula terganggu, jadi ia keluar mencari kawasan berteduh dan meneruskan kehidupan termasuk di rumah penduduk,” katanya kepada Bernama.

Mohd Hafiz berkata Terengganu antara negeri ketiga merekodkan jumlah tangkapan ular tertinggi selain Selangor dan Kedah.

Beliau berkata spesies ular paling banyak ditemukan ialah tedung selar, tedung senduk dan sawa batik. 

Operasi menangkap ular oleh pihak APM, katanya melibatkan pelbagai kawasan sama ada bandar mahupun kampung seperti rumah penduduk, kawasan pembinaan dan lombong.

“Kes terbaharu melibatkan kecederaan yang kita terima adalah pada hari pertama puasa (19 Feb) di Kuala Nerus melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terkena semburan bisa ular tedung sembur pada bahagian mata dan telah dibawa segera ke hospital,” katanya. 

Sehubungan itu, Mohd Hafiz menasihati orang ramai supaya memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih bagi mencegah kehadiran haiwan berbisa seperti di rekahan dinding, kawasan kumbahan, rak kasut dan atap rumah.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya kekal bertenang sekiranya terkena patukan atau semburan bisa serta dan segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik terdekat, atau menghubungi talian kecemasan 999.

“Sekiranya terkena semburan haiwan berbisa seperti ular tedung sembur, mangsa boleh bilas kawasan badan yang terkena dengan air yang bersih dan mengalir terlebih dahulu serta segera dihantar ke hospital,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video