KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) menganjurkan Anugerah Ikon Siswa (AIS) 2025 pada 10 Mei 2026 sebagai platform pengiktirafan tertinggi kepada mahasiswa yang cemerlang dalam akademik, kepimpinan dan penglibatan masyarakat.
Majlis yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, UMT itu menghimpunkan mahasiswa terbaik universiti sepanjang sesi akademik 2024–2025, melibatkan sebelas kategori anugerah individu dan empat kategori berpasukan merangkumi pelbagai kluster kecemerlangan termasuk kepimpinan, kesukarelawanan, sukan, inovasi, keusahawanan, perpaduan dan kelestarian.
Antara kategori berpasukan yang dipertandingkan ialah Anak Negeri Terbaik, Akademik Terbaik, Sukarelawan Terbaik dan Sosial Terbaik, manakala tiga pengiktirafan utama turut disampaikan iaitu Anugerah Tokoh Siswa UMT 2025, Anugerah U and Me Together Naib Canselor serta Anugerah Bingkas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Hirman Awang, yang menyifatkan AIS sebagai wadah strategik bagi mengetengahkan potensi mahasiswa sebagai aset pembangunan negara.
"Pengiktirafan ini bukan sahaja mengiktiraf pencapaian pelajar, malah berperanan membina keyakinan dan menyemai aspirasi dalam kalangan mahasiswa untuk terus menyumbang secara berimpak kepada masyarakat dan negara," ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Mohd Izani Mohd Zain, berkata penganjuran AIS mencerminkan usaha universiti melahirkan mahasiswa holistik yang seimbang dari segi akademik, kepimpinan dan sahsiah.
"Calon akhir dan penerima anugerah AIS 2025 menunjukkan keupayaan menggabungkan kecerdasan intelektual, kematangan emosi serta komitmen terhadap pembangunan komuniti," kata beliau.
Selain itu ujarnya, ia berpotensi membawa nama universiti ke peringkat lebih tinggi termasuk penyertaan dalam Anugerah Tokoh Siswa anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi.
Pada kemuncak majlis, Muhammad Zaki Anuar diumumkan sebagai penerima Anugerah Ikon Siswa 2025.
Beliau menzahirkan penghargaan atas pengiktirafan diterima dan menyifatkannya sebagai amanah untuk terus menyumbang kepada pembangunan mahasiswa dan masyarakat.
Majlis turut menyaksikan peluncuran beberapa inisiatif baharu universiti termasuk Program Berimpak Tinggi HEPA 2026, Portal Berita Suara Bingkas dan UMT-Samudera Idea Lab (UMT-SIL) yang bertujuan memperkukuh penglibatan mahasiswa, inovasi dan pemikiran strategik di kampus.
Penganjuran AIS 2025 dilihat selari dengan usaha institusi pengajian tinggi menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam melahirkan graduan berdaya saing serta seimbang dari aspek ilmu, kepimpinan dan nilai kemasyarakatan.