Skip to main content

Malaysia

Anggota bomba sukarela terjatuh bot di Lahat, ditemukan lemas

FB Bomba Perak Official
- Foto JBPM Perak

IPOH: Seorang anggota bomba sukarela yang dilaporkan terjatuh dari bot di lombong di Bandar Baru Lahat Mines, dekat sini, petang Ahad, ditemukan lemas malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, mayat mangsa, Jun Cheng Siew, 25 tahun, ditemui pada jam 10.18 malam.

“Mangsa ditemui oleh pasukan bomba yang membuat tinjauan secara pencarian di permukaan, di mana ia terapung dengan jarak lebih kurang 70 meter dari tebing berhampiran lokasi tempat dipercayai tenggelam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam kejadian Ahad, mangsa yang merupakan ahli Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu sedang menjalankan aktiviti latihan dan pengujian bot di lombong di Bandar Baru Lahat Mines, Lahat. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad  berkata, latihan bermula pada jam 4 petang melibatkan seramai 16 orang anggota PBS, masing-masing tujuh daripada PBS Menglembu dan PBS Pekan Baru serta dua orang daripada PBS Pasir Pinji dengan menggunakan tiga buah bot.

Menurutnya, pada peringkat awal latihan dimaklumkan mangsa memakai Personal Flotation Device (PFD), namun setelah latihan hampir selesai sekitar jam 7.10 malam, mangsa kembali menaiki bot tanpa memakai PFD bersama-sama seorang pemandu.

Menurutnya, kedua-dua mereka dipercayai terjatuh ketika pemandu bot membuat pusingan U di tengah tasik dan pemandu bot cuba menyelamatkan mangsa namun turut terjatuh ke dalam tasik. 

Ujarnya, pemandu bot kemudiannya berjaya diselamatkan oleh rakan PBS yang lain manakala mangsa telah tenggelam ke dalam tasik.

Menurutnya, jarak mangsa dipercayai terjatuh dianggarkan kira-kira 150 meter dari tebing.


 

Must Watch Video