Skip to main content

Malaysia

AI, blockchain perkukuh misi SPRM basmi rasuah

81758081352_aidigitalsprm.jpg
PUTRAJAYA: Jenayah rasuah kini tidak lagi tersembunyi di lorong gelap, sebaliknya bergerak pantas melalui transaksi digital, kripto dan akaun luar pesisir.


Ringkasan AI
  • SPRM kini menggunakan teknologi AI dan blockchain untuk membanteras jenayah rasuah yang semakin canggih melalui transaksi digital, kripto dan akaun luar pesisir.
  • AI membantu mempercepat siasatan, mengesan anomali dan membina rangkaian suspek, serta berfungsi sebagai sistem amaran awal terhadap gaya hidup mewah dan projek berisiko.
  • SPRM memperkenalkan pelbagai sistem digital dan latihan pegawai, termasuk avatar AI SARA di TikTok, serta memperkukuh forensik digital dengan akreditasi ISO 17025 untuk menjejak cryptocurrency dan komunikasi rahsia.


Persoalannya, adakah SPRM mahu terus bergantung kepada kaedah tradisional? Sudah tentu usaha membasmi rasuah secara telus dimantapkan lagi dengan pelbagai teknologi semasa terutama penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Ahmad Khuisairi Yahaya berkata, senjata strategik baharu ini bukan untuk menggantikan manusia tetapi bagi memperkasakan penyiasat agar lebih tangkas, proaktif dan efisien.

Ahmad Khuisairi menegaskan AI bukan untuk menggantikan manusia, tetapi memperkuat mereka yang berjuang menentang rasuah. - Foto SPRM

Beliau yang juga merangkap Ketua Pegawai Maklumat (CIO) SPRM menegaskan dengan algoritma pintar, AI mampu menapis ribuan transaksi dalam masa singkat sekali gus mengesan anomali serta membina jaringan antara individu, syarikat dan data kewangan.

“AI bukan sekadar mencari jarum dalam jerami, tetapi mencari jerami yang menyerupai jarum.

“Selain mempercepat siasatan melalui platform seperti Sentinel, AI turut berfungsi sebagai sistem amaran awal, mengesan gaya hidup mewah luar kebiasaan dan projek awam berisiko tinggi,” katanya.

Penggunaan sistem digital mengurangkan intervensi manusia, sekali gus menutup ruang penyelewengan.

Antara teknologi yang digunakan termasuk OSINT, NLP, Caseware IDEA, Adobe Acrobat Pro DC, ABBYY FineReader, Complaint Management System (CMS), CRIS, EMS, MACCFIS, MACCKPI dan eSTK.

SPRM turut memperkenalkan sistem OACP, CRM, AIMS, PRIDE serta avatar AI SARA (Saya Antirasuah) di TikTok. Inisiatif ini diiktiraf antarabangsa dengan meraih tiga anugerah utama ASEAN PR Excellence Awards 2025.

Gabungan AI dan blockchain menjadikan setiap transaksi lebih telus, terutama dalam perolehan awam, projek infrastruktur dan agihan subsidi.

Bagi memperkukuh forensik digital, Bahagian Forensik Teknologi (BFT) dilengkapkan dengan kepakaran AI untuk menjejak cryptocurrency dan komunikasi terenkripsi, dengan akreditasi ISO 17025.

Namun, Ahmad Khuisairi mengingatkan risiko wujud ketergantungan berlebihan kepada algoritma boleh menjejaskan siasatan.

“Sebab itu SPRM melaksanakan governans data ketat, perlindungan siber berlapis dan latihan seperti Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA).

“AI bukan menggantikan manusia, tetapi memperkuat mereka yang berjuang menentang rasuah.

“Dengan teknologi digital dan integriti pegawai, SPRM bertekad mengekalkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara yang telus, cekap dan bebas rasuah,” tambahnya.

Antara kelebihan menggunakan AI dalam usaha membasmi rasuah adalah seperti berikut:

1. Pengesanan Corak Pintar
  • Imbas ribuan dokumen & transaksi
  • Mengesan anomali & penipuan
  • Bina rangkaian suspek & aliran dana
2. Siasatan Lebih Cepat
  • Disingkat daripada bertahun kepada beberapa bulan
  • Fokus pada bukti paling relevan
3. Ketelusan Blockchain
  • Transaksi tidak boleh diubah
  • Jejak dana awam lebih mudah
4. Forensik Digital AI
  • Jejak cryptocurrency, fail sulit & komunikasi rahsia
  • Unit forensik SPRM berakreditasi ISO 17025
5. Sistem Amaran Awal
  • Kesan gaya hidup mewah, projek berisiko & transaksi luar biasa
6. Kurangkan Rasuah Dalaman
  • Automasi proses sensitif
  • Audit log & jejak digital
7. Latihan & Kolaborasi
  • Pegawai SPRM ditauliahkan dalam AI
  • Kerjasama dengan pakar teknologi tempatan & antarabangsa






Must Watch Video