Skip to main content

Malaysia

Gagal pamer tanda larangan merokok, 85 pemilik premis di Kelantan dikenakan tindakan

41702634985_Laranganmerokok.jpg
Bagi premis yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 18(1), tindakan penguatkuasaan telah diambil termasuk mengeluarkan notis kesalahan kepada pemilik atau penghuni premis terbabit. - Gambar fail

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan 85 notis kesalahan terhadap pemilik premis kerana gagal mematuhi peraturan berkaitan tanda larangan merokok bagi tempoh 1 Jan hingga bulan lepas.

Pengarah JKNK Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata daripada jumlah itu, 43 notis melibatkan premis makanan, diikuti kedai runcit (18 notis), kedai serbaneka (satu notis) dan lain-lain premis sebanyak 23 notis.

Beliau berkata tindakan di bawah Seksyen 18 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) itu hasil aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan terhadap 6,209 premis di seluruh negeri.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 98 peratus premis didapati mematuhi kehendak Akta 852 dengan mempamerkan tanda larangan merokok dan vape seperti ditetapkan.

"Bagi premis yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 18(1), tindakan penguatkuasaan telah diambil termasuk mengeluarkan notis kesalahan kepada pemilik atau penghuni premis terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Azman berkata sebanyak 20 notis dikeluarkan terhadap premis di jajahan Tumpat, diikuti Kuala Krai (19 notis) dan Kota Bharu (17 notis).

"Tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan JKNK merupakan langkah terakhir selepas pendekatan advokasi dan pendidikan kesihatan diberikan kepada pemilik premis.

"Pemilik premis diminta menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan memastikan tanda larangan merokok dan vape dipamerkan di premis bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan awam," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement