PETALING JAYA: Polis Selangor menugaskan 542 pegawai dan anggota bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negeri itu sempena Aidilfitri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, ia melibatkan 41 pegawai dan 501 anggota yang akan bertugas sepanjang musim perayaan bagi menjayakan Op Selamat 26 dan Op Lancar.
Beliau berkata, penugasan itu turut diperkukuhkan dengan aset logistik, termasuk 70 Unit Kereta Peronda (MPV) dan 148 Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
"Pemantauan rapi akan dilaksanakan di 23 lokasi strategik merangkumi 16 daerah bagi penguatkuasaan had laju. Selain itu, tumpuan khusus akan diberikan di 53 lokasi hotspot dan 34 lokasi blackspot yang telah dikenal pasti," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri di Plaza Tol PJS 2, di sini, pada Isnin.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor, Azrin Borhan.
Shazeli berkata, pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan mengatur gerak Op Lancar lebih awal iaitu bermula 18 hingga 29 Mac ini bagi mengawal selia titik kesesakan utama di seluruh Selangor.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemandu kenderaan barangan mengenai larangan pemanduan pada 19 hingga 20 Mac serta 28 hingga 29 Mac.
“Kegagalan mematuhi arahan waktu larangan berkenaan merupakan kesalahan dan boleh didenda hingga RM2,000, bagaimanapun pengecualian diberikan kepada jentera berat dan kren yang melaksanakan kerja kecemasan,” katanya.
Beliau berkata orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan atau ingin menyalurkan laporan trafik boleh menghubungi Bilik Gerakan JSPT Selangor di talian 03-5510 0559 atau CCC Selangor 03-5514 5206.
-- BERNAMA