Skip to main content

Malaysia

36 jemaah umrah terkandas: MOTAC batal lesen syarikat Al Aisy Travel & Tour Sdn Bhd

logo Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya
MOTAC tidak akan kompromi dengan pelanggaran undang-undang oleh pengusaha pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia.

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen Syarikat Al Aisy Travel & Tour Sdn Bhd berkuat kuasa 31 Mac lepas, susulan insiden 36 jemaah Malaysia terkandas di Arab Saudi sebelum ini.

MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembatalan lesen itu selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) berikutan syarikat tersebut didapati gagal membuat tempahan terlebih dahulu bagi kemudahan penginapan dan pengangkutan di Madinah seperti dalam jadual pakej umrah atau ziarah.

“Syarikat juga gagal mengikut jadual perjalanan pelancongan dan gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia kepada 36 jemaah umrah sehingga menyebabkan jemaah tersebut terkandas di Madinah, Arab Saudi,” kata MOTAC.

Tindakan syarikat berkenaan turut membuktikan bahawa ia gagal untuk mematuhi apa-apa obligasi yang dikenakan ke atas syarikat dan melanggar syarat dikenakan di bawah lesen sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan 8(1)(a) dan (b) Akta 482.

Selain itu, kenyataan tersebut memaklumkan syarikat terbabit didapati menjalankan perniagaannya mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan 8(1)(d) Akta 482.

Menurut MOTAC, keadaan itu menimbulkan risiko keselamatan, tekanan kewangan dan gangguan perjalanan ibadah terhadap jemaah umrah, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti dan integriti syarikat serta merosakkan keyakinan awam terhadap industri pelancongan secara keseluruhan.

“MOTAC tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia MADANI,” kata kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video