KUALA LUMPUR: Kira-kira 1.16 juta isi rumah telah menerima manfaat daripada inisiatif Bank Makanan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak 2020 hingga kini.
Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata bagaimanapun, jumlah sebenar penerima manfaat inisiatif berkenaan mungkin lebih besar memandangkan angka itu hanya berdasarkan Sekretariat Bank Makanan di bawah KPDN, selain pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menggerakkan inisiatif tersebut secara persendirian di seluruh negara.
“Kita mahu program ini bukan hanya mendapat impak yang besar tetapi kita dapat pastikan tidak ada golongan yang terpinggir atau tersasar... maka kita jemput semua NGO ini untuk bergerak sebagai rakan strategik untuk inisiatif bank makanan ini,” katanya semasa sidang media Program Ronda Ramadan Ihsan Bank Makanan (i-FB) di sini pada Rabu.
Beliau berkata kerajaan kini memperkasa gerakan itu melalui inisiatif i-FB yang bertujuan menarik penyertaan lebih banyak rakan strategik termasuk industri, NGO dan institusi bagi memperluas pengagihan makanan kepada golongan memerlukan.
Armizan juga berkata usaha itu penting dalam menangani isu pembaziran makanan susulan laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang mendapati Malaysia dianggar menghasilkan kira-kira 17,000 tan metrik sisa makanan setiap hari, dengan sekitar 4,000 tan metrik daripadanya masih boleh diselamatkan serta dimanfaatkan semula.
Beliau berkata lebihan makanan yang berjaya diselamatkan bukan sahaja boleh disalur kepada golongan memerlukan malah membantu mengurangkan sisanya di tapak pelupusan sekali gus mengurangkan kesan terhadap alam sekitar seperti pelepasan gas metana.
Dalam pada itu, Armizan berkata KPDN turut menyediakan mesin retort kepada beberapa rakan strategik menerusi program Inkubator i-FB bagi memproses makanan lebihan menjadi makanan sedia dimakan untuk diedarkan kepada kumpulan sasar.
“Setakat ini, sebanyak 14 mesin retort telah disalurkan kepada beberapa institusi termasuk hotel dan institusi pendidikan bagi melaksanakan projek rintis inisiatif berkenaan,” katanya.
Beliau berkata KPDN juga sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk merangka mekanisme pengiktirafan kepada NGO dan pihak industri yang terlibat dalam inisiatif bank makanan.
Armizan berkata langkah itu bertujuan menghargai komitmen pihak terlibat yang bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup rakyat malah menyumbang kepada agenda kelestarian alam sekitar dan keterjaminan makanan negara.
“Kita berharap mekanisme ini dapat diumumkan secepat mungkin dan selewat-lewatnya dimasukkan sebagai antara inisiatif untuk belanjawan tahun depan,” katanya.
-- BERNAMA