MEKAH: Impian menunaikan ibadah haji bersama keluarga menjadi kenyataan buat seorang jemaah dari Perak apabila seramai 10 adik-beradik bersama enam ipar masing-masing berjaya berada di Tanah Suci, hasil disiplin menyimpan yang telah dipupuk sejak kecil.
Muhammad Huzair Zakhal yang merupakan anak keempat daripada 12 beradik berkata, apa yang menjadikan perjalanan ini lebih bermakna ialah setiap sen yang digunakan untuk menunaikan haji hari ini sebenarnya telah bermula sejak zaman kanak-kanak lagi, termasuk simpanan duit raya yang tidak pernah dibelanjakan.
“Sebenarnya duit raya kami dari kecil pun tidak digunakan. Semua disimpan dalam Tabung Haji… hari ini itulah antara yang kami gunakan untuk menunaikan haji,” katanya ketika ditemui di sini.
Muhammad Huzair berkata, amalan menyimpan itu diterapkan oleh ibu bapanya sejak awal, dengan setiap anak dibuka akaun Tabung Haji sebaik sahaja lahir.
Menurutnya, ibunya memulakan simpanan dengan jumlah kecil namun konsisten, bermula RM10 setiap bulan sebelum ditingkatkan kepada RM20 bagi setiap anak.
“Mak yang mula simpan untuk kami semua. Dia potong daripada pendapatan sendiri, sedikit demi sedikit, sampai cukup jumlah untuk daftar haji bagi semua anak-anak pada 2009,” katanya.
Katanya lagi, selepas beberapa tahun, akaun tersebut diserahkan kepada setiap anak untuk diteruskan, sekali gus mendidik mereka tentang tanggungjawab mengurus kewangan sendiri.
“Bila mak serahkan, kami pula sambung simpan. Walaupun sedikit, tetapi konsisten… sampai akhirnya cukup untuk tunaikan haji,” katanya.
Lebih mengharukan, kata Muhammad Huzair, apabila panggilan menunaikan haji diterima, ada dalam kalangan adik-beradik yang masih belum cukup simpanan, namun ibunya tampil membantu.
“Ada yang rasa nak tangguh sebab simpanan belum cukup. Tetapi mak kata tak apa, mak sanggup bantu… asalkan semua anak-anak dapat pergi haji bersama,” katanya.
Menurut Muhammad Huzair, pengorbanan itu menjadi detik yang sangat menyentuh hati dan membuktikan kesungguhan ibu bapa dalam memastikan impian keluarga itu tercapai.
“Apa yang kami capai hari ini sebenarnya hasil pengorbanan mak ayah sejak awal lagi,” katanya.
Selain disiplin menyimpan, Muhammad Huzair berkata didikan agama juga memainkan peranan besar dalam membentuk mereka sebagai sebuah keluarga.
Menurutnya, sejak kecil mereka dibesarkan dalam suasana pembelajaran al-Quran dan hadis di rumah, dengan ibu bapa sentiasa memberi peringatan tentang keikhlasan dan tujuan sebenar beribadah.
“Mak selalu ingatkan, jaga niat… kita datang untuk haji kerana Allah, bukan sebab nak tunjuk atau benda lain,” katanya.
Muhammad Huzair berkata, pesan itu menjadi pegangan sepanjang berada di Tanah Suci, lebih-lebih lagi ketika diuji dengan keletihan dan kepadatan jemaah.
Mengulas pengalaman menunaikan ibadah bersama adik-beradik, Muhammad Huzair berkata peluang itu amat bermakna kerana sukar untuk dikumpulkan dalam satu masa setelah masing-masing berkeluarga.
“Biasanya memang susah nak berkumpul lama sebab semua dah bekerja, ada keluarga sendiri. Tapi di sini, hampir 48 hari kita bersama… itu satu nikmat yang tak dapat digambarkan,” katanya.
Muhammad Huzair berkata, selain menunaikan ibadah, masa tersebut juga dimanfaatkan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan yang mungkin jarang terjalin dalam kehidupan seharian.
“Bukan sahaja ibadah, tetapi hubungan antara adik-beradik dan pasangan pun semakin erat,” katanya.
Dalam masa sama, katanya nilai yang diterapkan oleh ibu bapanya kini diteruskan kepada generasi seterusnya.
Katanya, dia sendiri telah membuka akaun Tabung Haji untuk ketiga-tiga anaknya dan berusaha menyimpan sejak mereka kecil.
“Kita buat perkara sama seperti yang mak ayah buat dulu. Simpan dari kecil, walaupun sedikit, tetapi konsisten,” katanya.
Muhammad Huzair berkata, dia berharap kisah keluarganya dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk membuat perancangan awal dalam menunaikan ibadah haji.
Menurutnya, kunci utama bukan jumlah simpanan besar, tetapi disiplin dan kesungguhan.
“Kalau mula awal dan konsisten, insya-Allah akan sampai juga. Yang penting usaha dan niat,” katanya.
Muhammad Huzair turut berharap lebih ramai ahli keluarga termasuk sepupu dapat mengikuti jejak langkah mereka untuk menunaikan haji bersama pada masa akan datang.
“Insya-Allah harapan kami, satu hari nanti keluarga besar pula dapat berkumpul di Tanah Suci,” katanya.