Skip to main content

Dunia

Venezuela, Colombia perkukuh kerjasama desak penamatan sekatan AS

41767481823_DelcyRodriguez.jpg
Rodriguez berkata, sekatan tersebut bukan sahaja menjejaskan rakyat Venezuela, malah turut memberi kesan kepada ekonomi negara jiran serta rantau Amerika Latin secara keseluruhan. - Gambar fail

PENTADBIRAN Venezuela bersama Colombia bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam usaha menamatkan sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Venezuela.

Pemangku Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez berkata, sekatan tersebut bukan sahaja menjejaskan rakyat Venezuela, malah turut memberi kesan kepada ekonomi negara jiran serta rantau Amerika Latin secara keseluruhan.

Menurut beliau, langkah sekatan yang dikenakan secara unilateral itu memberi impak langsung kepada hubungan ekonomi antara Venezuela dan Colombia.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan mesej kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bahawa tindakan paksaan unilateral terhadap rakyat Venezuela memberi kesan kepada rakyat kami di Amerika Latin. 

"Ia turut menjejaskan ekonomi Colombia dan Venezuela dan seruan rakyat kami adalah agar sekatan terhadap Venezuela ditarik balik.”

Sementara itu, laporan agensi antarabangsa memaklumkan Rodriguez kini giat menarik pelaburan dalam sektor minyak dan perlombongan sebagai usaha menstabilkan ekonomi negara susulan penahanan bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro oleh Amerika Syarikat.

Dalam perkembangan berkaitan, Venezuela dan Colombia turut berusaha memperkukuh hubungan dua hala termasuk kerjasama perdagangan serta ekonomi di kawasan sempadan kedua-dua negara. 

Hubungan antara kedua-dua negara juga mempunyai ikatan sejarah dan budaya yang rapat, khususnya di kawasan sempadan yang menempatkan ramai keluarga dwinegara.

Sebelum ini, hampir tiga juta pelarian Venezuela dilaporkan menetap di Colombia selepas melarikan diri daripada kemerosotan ekonomi di Venezuela.

Dari segi perdagangan pula, pada tahun 2025 Colombia mencatat lebihan dagangan sebanyak 973.4 juta dolar Amerika dengan Venezuela, melibatkan eksport makanan, tembakau, bahan kimia, plastik serta jentera. 

Import dari Venezuela pula dianggarkan bernilai 98.3 juta dolar Amerika, merangkumi besi dan keluli, baja serta kertas. - Agensi

Must Watch Video