KAMPALA: Uganda mengesahkan tiga kes baharu Ebola, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan dalam wabak semasa meningkat kepada lima kes, ketika pihak berkuasa mempergiat usaha pengesanan kontak bagi mengawal penularan.
Kementerian Kesihatan Uganda memaklumkan dua daripada kes baharu melibatkan seorang pemandu yang membawa pesakit pertama serta seorang petugas kesihatan yang terdedah ketika merawat pesakit tersebut.
Kedua-duanya kini sedang menerima rawatan.
Kes ketiga melibatkan seorang wanita dari Republik Demokratik Congo (DRC) yang memasuki Uganda sebelum disahkan positif selepas kembali ke negaranya.
Perkembangan itu berlaku ketika Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 10 negara berada dalam risiko penularan wabak, termasuk Kenya, Rwanda, Tanzania dan Zambia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula telah menaikkan tahap risiko wabak di DRC kepada “sangat tinggi” di peringkat nasional, dengan risiko serantau kekal tinggi.
DRC setakat ini mencatat hampir 750 kes disyaki dan 177 kematian disyaki, dengan wilayah Ituri dikenal pasti sebagai pusat wabak.
WHO memaklumkan beberapa faktor menyukarkan usaha mengawal wabak, termasuk pengesanan lewat, ketiadaan vaksin khusus bagi strain Bundibugyo, keganasan bersenjata serta mobiliti tinggi penduduk.
Sebagai langkah pencegahan, Uganda telah menggantung semua pengangkutan awam ke DRC bagi mengekang penularan rentas sempadan.
#Uganda has today reported three new confirmed cases of #Ebola in the country, including a Ugandan health worker, a driver and a Congolese national who travelled from Ituri Province, in the neighbouring #DRC, for medical care.
This brings the total number of people in Uganda who… pic.twitter.com/Q2ZkGPiZY9— Tedros Adhanom Ghebreyesus (@DrTedros) May 23, 2026
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah khemah rawatan Ebola di timur DRC dilaporkan dibakar oleh individu tidak dikenali, menyebabkan panik dalam kalangan petugas kesihatan dan 18 pesakit disyaki melarikan diri.
Pihak berkuasa kesihatan kini memantau rapat semua kontak rapat kes disahkan dan menggesa orang ramai supaya kekal berwaspada serta segera melaporkan sebarang gejala.
Pakar kesihatan memberi amaran bahawa tindakan pantas dan kerjasama serantau amat penting bagi mengelakkan wabak daripada merebak lebih luas di Afrika.