WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mencetuskan kontroversi selepas berkongsi sebuah video serangan maut yang mengerikan di Florida bagi menyokong gesaannya untuk memperketatkan dasar imigresen, khususnya melibatkan migran dari Haiti.
Seorang migran lelaki dari Haiti, Rolbert Joachin, didakwa atas kesalahan membunuh selepas dipercayai memukul seorang wanita hingga mati di sebuah stesen minyak di Florida pada 3 April lalu, menurut pihak berkuasa AS.
Insiden itu berlaku apabila suspek didakwa menyerang mangsa berulang kali menggunakan tukul besi.
Trump berkongsi video kejadian tersebut, yang turut dimuat naik oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), di platform Truth Social, sambil menyeru agar perlindungan deportasi untuk migran Haiti ditamatkan.
Video berkenaan memaparkan seorang lelaki memukul kepala mangsa sebelum wanita itu terjatuh ke atas laluan pejalan kaki, diikuti beberapa lagi hentakan ke bahagian kepala dan tubuh sebelum suspek melarikan diri.
Trump menyifatkan kejadian itu sebagai “antara perkara paling kejam yang pernah anda lihat” dan menegaskan bahawa “satu pembunuhan ini sahaja sudah mencukupi” untuk hakim berhenti, menurutnya, daripada menghalang pelaksanaan dasar imigresen pentadbirannya.
Kenyataan itu dibuat ketika usaha kerajaan Trump untuk menamatkan status 'Temporary Protected Status' (TPS) bagi lebih 350,000 rakyat Haiti sedang berdepan cabaran undang-undang.
Pada Februari lalu, seorang hakim persekutuan menyekat sementara percubaan pentadbiran Trump untuk membatalkan TPS yang membenarkan warga Haiti tinggal dan bekerja di AS.
TPS memberi perlindungan sementara daripada pengusiran kepada pendatang dari negara yang dianggap tidak selamat akibat bencana alam, konflik bersenjata atau krisis lain.
Haiti mula diberikan status TPS selepas dilanda gempa bumi dahsyat pada 2010, dan kelayakan itu telah beberapa kali dilanjutkan, termasuk pada 2021 di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden.
Menurut DHS, Joachin memasuki AS pada Ogos 2022 dan pernah dikenakan perintah muktamad pengusiran pada tahun sama.
Namun, beliau kemudian diberikan TPS oleh pentadbiran Biden, yang tamat tempoh pada 2024.
DHS berkata Joachin akan diusir “tanpa mengira keputusan” kes jenayahnya.
Agen Khas DHS, Micah McCombs, berkata video tersebut sangat mengejutkan dan sukar untuk dilupakan, sambil menyifatkan serangan itu sebagai “tidak berperikemanusiaan dan tidak masuk akal”.
Pihak polis tempatan meminta bantuan Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) untuk mengesan Joachin di Fort Myers, dan suspek berjaya ditahan tidak lama selepas itu.
Pentadbiran Trump berpendapat bahawa program TPS telah digunakan secara berlebihan dan menggalakkan imigresen haram, serta menyimpang daripada tujuan asal Kongres yang hanya bertujuan memberi perlindungan sementara.
Selain Haiti, kerajaan Trump turut berusaha menamatkan TPS bagi migran dari beberapa negara lain termasuk Afghanistan, Honduras, Ethiopia, Myanmar, Nepal, Syria dan Venezuela, yang boleh menjejaskan ratusan ribu pendatang.
Mahkamah Agung AS telah bersetuju untuk mendengar kes berkaitan status TPS bagi warga Haiti, dengan hujahan lisan dijadualkan berlangsung lewat bulan ini.
Perkongsian video oleh Trump terus mencetuskan perdebatan hangat, dengan pengkritik menuduh beliau mengeksploitasi keganasan untuk kepentingan politik, manakala penyokongnya berpendapat tindakan itu menggariskan keperluan segera untuk kawalan imigresen yang lebih tegas.