Skip to main content

Dunia

Trump kaitkan Perjanjian Iran dengan Perjanjian Abraham, desak negara Arab sertai Israel

Sumber: REUTERS
Menteri Luar Bahrain Abdullatif, Al Zayani; Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu; Presiden Donald Trump dan Menteri Luar UAE, Abdullah bin Zayed menghadiri majlis pemeteraian Perjanjian Abraham yang menormalisasikan hubungan antara Israel dan beberapa negara jirannya di Asia Barat di White House, Washington, Amerika Syarikat, pada 15 September 2020. - Gambar fail Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump meminta beberapa negara termasuk Arab Saudi, Qatar, Pakistan, Turkiye, Mesir dan Jordan supaya menyertai Perjanjian Abraham secara bersama, sebagai sebahagian daripada usaha mencapai penyelesaian konflik dengan Iran.

Trump turut mencadangkan agar sebarang perjanjian dengan Iran melibatkan perluasan penyertaan dalam perjanjian itu, yang bertujuan menormalisasikan hubungan antara Israel dan beberapa negara Arab.

Menurutnya, penyertaan negara-negara berkenaan perlu dijadikan satu “keperluan” dalam rundingan tersebut, susulan usaha Amerika Syarikat menyatukan pelbagai kepentingan di rantau berkenaan.

Dalam kenyataan menerusi media sosial, Trump berkata, rundingan dengan Iran ketika ini berjalan dengan baik, namun memberi amaran bahawa kegagalan mencapai persetujuan boleh mencetuskan konflik yang lebih besar.

Beliau turut mencadangkan Arab Saudi dan Qatar menjadi antara negara terawal menandatangani perjanjian tersebut, diikuti negara lain yang terlibat dalam rundingan.

Perjanjian Abraham yang dimeterai semasa pentadbiran pertama Trump pada 2020 sebelum ini menyaksikan beberapa negara Arab termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menormalisasikan hubungan dengan Israel.

Trump juga membayangkan kemungkinan Iran sendiri menyertai perjanjian tersebut sekiranya kesepakatan berjaya dicapai, sekali gus membentuk pakatan global baharu yang disifatkannya sebagai “tiada tandingan.”

Bagaimanapun, setakat ini belum ada reaksi rasmi daripada kebanyakan negara yang disebut, selain Pakistan yang dilaporkan menolak cadangan berkenaan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement