WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran bahawa Washington akan melancarkan serangan “dengan sangat keras” terhadap Iran dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang jika matlamat ketenteraan dan diplomatiknya gagal dicapai.
Dalam ucapan selama hampir 20 minit, Trump berkata operasi AS akan diteruskan sehingga semua objektifnya dipenuhi, sambil mendakwa kemajuan ketara telah dicapai.
“Kami akan teruskan sehingga objektif kami dicapai sepenuhnya. Berdasarkan kemajuan yang telah dibuat, saya boleh katakan kami berada di landasan untuk menyelesaikan semua objektif Amerika tidak lama lagi, sangat tidak lama lagi,” katanya.
Trump turut mengeluarkan ancaman terbuka terhadap Iran, dengan menyatakan AS bersedia melancarkan serangan besar-besaran dalam tempoh terdekat.
“Kami akan menyerang mereka dengan sangat keras dalam dua hingga tiga minggu akan datang. Kami akan membawa mereka kembali ke Zaman Batu,” katanya lagi.
Walaupun menegaskan bahawa “perubahan rejim bukan matlamat kami”, Trump mendakwa perubahan kepimpinan telah berlaku susulan kematian pemimpin asal Iran, tanpa memberikan penjelasan lanjut mengenai kenyataan tersebut.
Beliau juga memberi amaran khusus mengenai kemungkinan serangan ke atas infrastruktur kritikal Iran, termasuk loji penjanaan elektrik, sekiranya tiada perjanjian dicapai dalam tempoh yang ditetapkan.
“Jika dalam tempoh masa ini tiada perjanjian dicapai, kami mempunyai sasaran utama dalam pengawasan kami. Jika tiada perjanjian, kami akan menyerang setiap satu loji penjanaan elektrik mereka dengan sangat keras, dan kemungkinan besar secara serentak,” katanya.
Trump mengakhiri ucapan berkenaan dengan nada penuh keyakinan, sambil menyasarkan sokongan rakyat AS.
“Malam ini, setiap rakyat AS boleh menantikan hari di mana kita akhirnya bebas daripada kejahatan pencerobohan Iran dan ancaman ugutan nuklear,” katanya.
Presiden itu turut berjanji bahawa apabila perang berakhir, “Amerika Syarikat akan menjadi lebih selamat, lebih kuat, lebih makmur dan lebih hebat berbanding sebelumnya”.
Kenyataan keras Trump itu dijangka meningkatkan kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap risiko konflik berskala besar di Asia Barat, ketika usaha diplomatik masih diteruskan bagi mengelakkan eskalasi ketenteraan antara Washington dan Tehran.