Skip to main content

Dunia

Thailand pertimbang hadkan jualan petrol pada waktu malam

Riders with vehicles queue to fill up fuel at a gas station amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in Bangkok, Thailand, March 26, 2026. REUTERS/Athit Perawongmetha
Langkah itu tidak akan melibatkan penutupan penuh stesen minyak, sebaliknya mengehadkan penjualan jenis bahan api tertentu pada waktu yang ditetapkan. - Gambar/ Reuters

BANGKOK: Kerajaan Thailand sedang bersiap sedia memperkenalkan langkah mengawal waktu operasi stesen minyak bagi memastikan bekalan bahan api domestik mencukupi di tengah-tengah ketegangan di Asia Barat.

Perdana Menteri Anutin Charnvirakul berkata langkah itu mungkin termasuk menggantung jualan bahan api antara 10 malam hingga 5 pagi selepas perayaan Songkran, yang bermula pada 13 April.

Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan sedang meneliti semua langkah yang mungkin untuk menjimatkan tenaga dan memastikan penggunaan bahan api dikawal rapi.

“Kerajaan sedang mengusahakan langkah penjimatan bahan api bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan domestik. 

"Jika kawalan ke atas operasi stesen minyak antara 10 malam hingga 5 pagi dilaksanakan, ia berkemungkinan dikuat kuasa selepas 20 April, bagi membolehkan orang ramai menyelesaikan perjalanan mereka semasa perayaan dan kembali menjalani aktiviti seperti biasa,” katanya kepada pemberita di Kementerian Dalam Negeri pada Selasa.

Beliau menjelaskan bahawa langkah itu selaras dengan pendirian awal kerajaan untuk memudahkan perjalanan orang ramai yang pulang ke kampung halaman semasa Songkran.

Media tempatan melaporkan bahawa langkah itu tidak akan melibatkan penutupan penuh stesen minyak, sebaliknya mengehadkan penjualan jenis bahan api tertentu pada waktu yang ditetapkan.

Di bawah cadangan itu, hanya diesel B20 — campuran biodiesel — dan gasohol E20 dibenarkan dijual antara 10 malam hingga 5 pagi, manakala jenis bahan api lain tidak akan dijual dalam tempoh itu.

Tinjauan di sebuah stesen minyak Bangchak Corporation pada Selasa menunjukkan harga Gasohol 95 ialah 43.95 baht (RM5.45) seliter, Gasohol 91 pada 43.58 baht (RM5.41), dan Diesel B7 pada 50.54 baht (RM6.27).

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video