Skip to main content

Dunia

Thailand mula bina pagar sempadan dengan Kemboja April ini

41766476797_TBThailandKemboja.jpg
Pembinaan di kawasan tersebut tidak melibatkan sebarang pertikaian wilayah dan telah mendapat persetujuan daripada pihak Kemboja bagi menjamin keamanan penduduk yang tinggal di sepanjang garis sempadan sepanjang hampir 800 kilometer itu. -Gambar fail

BANGKOK: Thailand akan memulakan pembinaan pagar sempadan di sebahagian wilayah yang bersempadan dengan Kemboja pada April ini bagi memperkukuh keselamatan susulan insiden pertempuran maut yang berlaku antara kedua-dua negara tahun lalu.

Jurucakap Angkatan Tentera Diraja Thailand, Vithai Laithomya, berkata fasa pertama projek itu melibatkan pembinaan pagar sepanjang 1.31 kilometer di wilayah Chanthaburi.

Beliau menegaskan bahawa pembinaan di kawasan tersebut tidak melibatkan sebarang pertikaian wilayah dan telah mendapat persetujuan daripada pihak Kemboja bagi menjamin keamanan penduduk yang tinggal di sepanjang garis sempadan sepanjang hampir 800 kilometer itu.

"Pembinaan pagar sempadan ini bukan sekadar membina dinding fizikal, tetapi juga bertujuan memberikan ketenangan fikiran kepada penduduk yang tinggal di kawasan sempadan," menurut Vithai dalam satu kenyataan rasmi.

Projek fasa pertama itu dijangka mengambil masa 45 hari untuk disiapkan selepas kawasan berkenaan disahkan bebas periuk api dan dilengkapi kemudahan jalan berturap di bahagian Thailand.

Projek ini turut mendapat sokongan Yayasan Hataitip milik Puteri Chulabhorn, adinda bongsu Raja Maha Vajiralongkorn, yang telah menyumbang sebanyak 121 juta baht (kira-kira RM14.6 juta) bagi membiayai fasa permulaan tersebut.

Dana berkenaan merupakan sebahagian daripada kutipan derma awam berjumlah lebih 200 juta baht yang diterima oleh yayasan itu sejak akhir tahun lalu bagi menyokong inisiatif keselamatan negara.

Pada peringkat seterusnya, tentera Thailand merancang membina dinding kekal serta pagar elektronik dilengkapi sensor dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan pemantauan berterusan 24 jam.

Langkah ini dilihat sebagai strategi jangka panjang Bangkok untuk membendung sebarang pencerobohan dan mengurangkan ketegangan bersenjata di kawasan sempadan yang sering menjadi titik konflik sebelum ini.

Must Watch Video