Skip to main content

Dunia

Thailand beri tempoh tiga tahun kedai ganja dilesen jadi klinik perubatan

61707823432_TBganja.jpg
Di bawah peraturan ini, pengusaha diwajibkan menggaji pengamal perubatan tradisional atau moden yang bertauliah bagi memastikan setiap penjualan produk ganja dipantau mengikut keperluan kesihatan. -Gambar hiasan

BANGKOK: Kerajaan Thailand menetapkan tempoh peralihan selama 36 bulan bagi semua pengusaha kedai ganja di seluruh negara untuk menaik taraf premis masing-masing menjadi klinik perubatan berlesen.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada draf akta baharu bagi mengawal selia penggunaan ganja yang kini dihadkan hanya untuk tujuan perubatan dan penyelidikan.

Di bawah peraturan ini, pengusaha diwajibkan menggaji pengamal perubatan tradisional atau moden yang bertauliah bagi memastikan setiap penjualan produk ganja dipantau mengikut keperluan kesihatan.

Menteri Kesihatan Awam Thailand, Somsak Thepsutin berkata, tempoh peralihan selama tiga tahun itu diberikan bagi membolehkan ribuan pemilik perniagaan menyesuaikan operasi mereka dengan kerangka undang-undang baharu.

Beliau menegaskan bahawa penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi akan dilarang sepenuhnya bagi mengurangkan impak sosial terutamanya dalam kalangan belia.

Mana-mana premis yang gagal memenuhi kriteria klinik perubatan selepas tempoh berkenaan tamat tidak akan dibenarkan memperbaharui lesen perniagaan mereka.

Kerajaan juga akan memperketatkan penguatkuasaan ke atas aktiviti penanaman dan pengedaran bagi memastikan bekalan ganja hanya disalurkan untuk kegunaan farmaseutikal dan rawatan yang sah.

Keputusan itu dibuat selepas Thailand menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang menyahjenayah ganja pada 2022, namun ketiadaan kawalan ketat sebelum ini mencetuskan kebimbangan mengenai penyalahgunaan bahan berkenaan secara terbuka.

Must Watch Video