ISTANBUL: Serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel menyasarkan menara pemancar radio di Pusat Radio dan Televisyen Teluk Parsi di bandar pelabuhan selatan Iran, Bandar Abbas, mengorbankan seorang kakitangan keselamatan dan mencederakan seorang lagi, lapor Anadolu Ajansi memetik laporan penyiar negara Iran IRIB pada Isnin.
Ketua pengarah pusat itu berkata serangan yang menyasarkan menara pemancar radio AM berkuasa 100 kilowatt itu melanggar undang-undang antarabangsa.
Siaran dari pusat berkenaan disambung semula seperti biasa selepas serangan itu, menurut IRIB.
Bandar Abbas, yang terletak di pantai utara Selat Hormuz, merupakan pelabuhan strategik penting Iran serta menempatkan pangkalan tentera laut utama negara itu.
Serangan AS-Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb dan dilaporkan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.
Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
-- BERNAMA-ANADOLU