HAMILTON: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa berkata keganasan di Semenanjung Gaza melonjak ke paras tertinggi sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt tahun lepas, dengan insiden meningkat hampir separuh berbanding minggu sebelumnya, lapor Anadolu Ajansi.
“Rakan kami di lapangan melaporkan bahawa antara 12 hingga 18 April, insiden seperti tembakan, bedilan dan serangan meningkat 46 peratus berbanding minggu sebelumnya, menjadikannya tertinggi sejak perjanjian gencatan senjata Oktober mula berkuat kuasa,” kata jurucakap Stephane Dujarric pada sidang media.
Menurut Dujarric, wilayah pentadbiran Gaza Utara, Gaza dan Deir al-Balah mencatat peningkatan paling ketara.
Dalam perkembangan berkaitan bantuan kemanusiaan, beliau memberi amaran bahawa sekatan terus menjejaskan usaha menangani ancaman bahan letupan aktif yang tidak meletup di seluruh wilayah itu.
Walaupun rakan tindakan periuk api telah mengadakan sesi pendidikan untuk puluhan ribu orang awam, beliau berkata ancaman itu hanya dapat ditangani dengan lebih berkesan jika peralatan khusus dibenarkan masuk dan kerja pembersihan serta pelupusan dapat dijalankan sepenuhnya.
“Sekatan, termasuk had terhadap kemasukan peralatan yang diperlukan untuk melupuskan bahan letupan, terus menghambat keseluruhan respons kemanusiaan,” katanya.
Serangan itu berlaku ketika Israel terus melanggar syarat gencatan senjata.
Pejabat Media Gaza berkata tentera Israel melakukan 2,400 pelanggaran sejak perjanjian itu dikuatkuasakan termasuk pembunuhan, penahanan, sekatan dan langkah yang membawa kepada kebuluran.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, pelanggaran itu menyebabkan 777 rakyat Palestin terbunuh dan 2,193 lagi cedera setakat Isnin.
Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Dujarric turut menegaskan bahawa corak keganasan Israel di Tebing Barat yang diduduki semakin membimbangkan.
Beliau berkata sepanjang suku pertama tahun ini, 33 rakyat Palestin terbunuh dan 790 cedera akibat tindakan tentera Israel atau pendatang haram, manakala lebih 540 serangan oleh pendatang haram Israel menyebabkan korban atau kerosakan harta benda.
Beliau menegaskan bahawa serangan yang menjejaskan orang awam mesti disiasat dan orang awam mesti dilindungi, manakala Israel sebagai kuasa pendudukan mempunyai kewajipan untuk melindungi penduduk Palestin, serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
-- BERNAMA-ANADOLU