KYIV: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera selepas Rusia melancarkan serangan berskala besar ke atas Ukraine dengan ratusan dron dan puluhan peluru berpandu semalaman.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, berkata ibu negara Kyiv menjadi sasaran utama, walaupun beberapa wilayah lain turut terjejas.
Letupan kuat dilaporkan berterusan sepanjang malam, menyebabkan kerosakan besar pada bangunan kediaman, sekolah, rumah opera dan muzium.
Pihak berkuasa Ukraine memaklumkan kira-kira 100 orang cedera, dengan sekurang-kurangnya 69 mangsa direkodkan di Kyiv sahaja.
Beberapa kawasan turut mengalami kerosakan pada kemudahan bekalan air, manakala Muzium Chornobyl di ibu negara dilaporkan hampir musnah sepenuhnya.
Serangan turut mengenai bangunan pangsapuri sembilan tingkat di daerah Shevchenko, mencetuskan kebakaran dan mengorbankan seorang penduduk.
Beberapa individu juga dilaporkan terperangkap apabila runtuhan menghalang pintu masuk tempat perlindungan serangan udara di sebuah sekolah.
Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan Ukraine ke atas infrastruktur awam, dakwaan yang dinafikan Kyiv.
Rusia juga menyatakan bahawa peluru berpandu hipersonik Oreshnik digunakan dalam serangan tersebut.
Senjata itu dipercayai mampu bergerak lebih 10 kali ganda kelajuan bunyi dan sukar dipintas.
Bagaimanapun, pihak Ukraine masih menjalankan penilaian untuk mengesahkan jenis senjata yang digunakan.
Pemimpin Eropah mengutuk serangan tersebut, dengan Kesatuan Eropah menyifatkan penggunaan senjata canggih sebagai tindakan berbahaya yang meningkatkan ketegangan.
Situasi itu turut mendapat perhatian global, termasuk dalam arena sukan, apabila atlet Ukraine menyuarakan solidariti terhadap mangsa di tanah air mereka.
Serangan terbaharu ini berlaku di tengah konflik berpanjangan sejak Rusia melancarkan pencerobohan penuh ke atas Ukraine pada Februari 2022.
Pihak berkuasa Ukraine menyifatkan serangan ini sebagai “keganasan terhadap orang awam”, manakala operasi menyelamat masih diteruskan di beberapa lokasi yang terjejas.
Ketegangan dijangka terus memuncak dengan kedua-dua pihak saling menuding jari, sementara komuniti antarabangsa mendesak usaha segera untuk meredakan konflik yang berlarutan.