Skip to main content

Dunia

Sekolah di Minab terkesan perang AS-Israel bakal diwartakan tapak nasional Iran

Minab Iran
Sekolah Shajareh Tayyebeh akan diiktiraf sebagai tapak berdaftar nasional, sekali gus menonjolkan kepentingannya sebagai simbol pengorbanan dan daya tahan. - AP

BANDAR ABBAS: Sekolah Shajareh Tayyebeh yang terletak di bandar selatan Minab bakal didaftarkan sebagai tapak nasional, menurut seorang pegawai Iran hari ini, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Ketua Jabatan Warisan Budaya, Pelancongan dan Kraf Tangan Wilayah Hormozgan di selatan, Adel Shahrzad berkata plak pendaftaran itu akan didedahkan serentak bersempena dengan Hari Teluk Parsi Kebangsaan pada Khamis.

Menurut beliau, majlis berkenaan bagi mengiktiraf Sekolah Shajareh Tayyebeh sebagai tapak berdaftar nasional, sekali gus menonjolkan kepentingannya sebagai simbol pengorbanan dan daya tahan.

Langkah itu bertujuan memelihara memori sejarah Minab dan memperingati detik tragis namun penting dalam sejarah terbaharunya, merujuk kepada serangan udara Amerika Syarikat (AS)-Israel di bandar itu yang menyasarkan tapak awam termasuk sekolah berkenaan.

Hampir 170 pelajar perempuan terkorban apabila sekolah itu terkena serangan pada 28 Februari, iaitu hari pertama serangan pencerobohan AS-Israel ke atas Iran baru-baru ini.

Shahrzad menarik perhatian bahawa selain nilai sejarahnya, Sekolah Shajareh Tayyebeh membawa kepentingan sosial dan budaya yang mendalam, melambangkan pengalaman dan penentangan rakyat Hormozgan.

Beliau menegaskan bahawa pendaftaran tapak sedemikian membantu melindungi warisan budaya selain menyampaikan naratif sejarah kepada generasi akan datang.

-- BERNAMA-IRNA

 

Must Watch Video