MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin berkata Rusia bersedia membekalkan tenaga kepada negara Eropah sekiranya mereka menunjukkan minat, sambil menyatakan bahawa Moscow kini meningkatkan penghantaran minyak dan gas kepada apa yang disifatkannya sebagai “rakan kongsi yang boleh dipercayai” di beberapa rantau, lapor Anadolu Ajansi.
Berucap pada mesyuarat mengenai situasi pasaran minyak dan gas global, Putin berkata Rusia akan terus membekalkan minyak dan gas kepada “rakan niaga yang boleh dipercayai”.
“Saya merujuk bukan sahaja kepada rakan kongsi kami di rantau Asia-Pasifik, tetapi juga kepada negara di Eropah Timur seperti Slovakia dan Hungary,” katanya sambil menjelaskan yang Moscow meningkatkan penghantaran kepada rakan kongsi itu di beberapa rantau dunia.
Putin berkata Kesatuan Eropah merancang memperkenalkan sekatan tambahan terhadap pembelian hidrokarbon Rusia, termasuk gas asli cecair (LNG), dengan larangan penuh terhadap bekalan itu dijangka menjelang 2027, sekali gus berpotensi menghentikan bekalan tenaga Rusia.
“Daripada menunggu pintu ditutup ke atas kami, lebih baik kami bertindak sekarang, mengalihkan jumlah bekalan ini dari pasaran Eropah ke destinasi yang lebih menarik dan yang paling penting, mengukuhkan kedudukan di sana,” katanya.
Namun begitu, beliau menegaskan Moscow masih terbuka untuk bekerjasama dengan negara Eropah dalam bekalan tenaga, dengan menegaskan yang kerjasama itu bergantung kepada isyarat daripada ibu negara Eropah tentang kesediaan mereka untuk bekerjasama tanpa dipengaruhi pertimbangan politik.
“Jika syarikat Eropah dan pembeli di Eropah memutuskan untuk menjalin kerjasama jangka panjang yang mampan tanpa pertimbangan politik, silakan. Kami tidak pernah menolak dan sedia bekerjasama dengan pihak Eropah,” katanya.
Presiden Rusia itu turut berkata harga minyak global meningkat mendadak dalam beberapa minggu kebelakangan ini, naik lebih 30 peratus. Beliau menegaskan Moscow sebelum ini memberi amaran bahawa cubaan menggugat kestabilan Asia Barat akan menjejaskan sektor bahan api dan tenaga global.
Putin berkata masalah logistik di laluan pengangkutan hidrokarbon kini mengganggu rantaian pengeluaran global dan mendorong inflasi, sambil menyatakan kira-kira satu pertiga eksport minyak dunia melalui laut melalui Selat Hormuz, yang kini disifatkannya “hampir ditutup sepenuhnya”.
“Pengeluaran minyak yang bergantung kepada selat itu berisiko terhenti sepenuhnya dalam tempoh sebulan akan datang. Ia sudah mula menurun dan kemudahan penyimpanan di rantau itu semakin penuh dengan minyak yang tidak dapat dihantar keluar atau amat sukar serta mahal untuk dihantar,” katanya.
Beliau berkata harga gas juga meningkat, malah lebih pantas berbanding harga minyak, susulan penurunan bekalan gas asli cecair dari Asia Barat.
Putin berkata persaingan dalam kalangan pembeli untuk mendapatkan bekalan tenaga yang stabil semakin sengit dalam keadaan semasa, sambil menjelaskan yang syarikat tenaga Rusia telah lama dikenali sebagai pembekal yang boleh dipercayai dan stabil.
Pengeluar minyak Arab Teluk pula mengurangkan pengeluaran apabila minyak mentah semakin terkumpul di kemudahan penyimpanan berikutan penutupan Selat Hormuz.
Kapal tangki minyak kebanyakannya mengelakkan laluan sempit itu susulan serangan berterusan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, serta kebimbangan yang Tehran mungkin menyasarkan kapal yang melalui laluan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU